Siapa je yang tak rasa semacam bila tiba-tiba banyak objek aneh dijumpai sekitar rumah. Lebih-lebih lagi, bila tahu yang barang tu memang tak pernah dibeli atau dihadiahkan sesiapa sepanjang tinggal di rumah tu.
Itulah detik seram yang dialami seorang wanita dari Bristol, United Kingdom, selepas dia kerap menemukan banyak patung mainan dinosaur di dalam rumahnya selama seminggu berturut-turut.
Alice Bigge, 41, yang merupakan seorang pensyarah filem berkata, dia mula-mula perasan akan kehadiran satu mainan dinosaur stegosaurus pada suatu hari dan menganggap mungkin ada rakannya yang datang melawat tertinggal mainan anak mereka.
Pun begitu, selama beberapa hari selepas itu, Bigge mula menemukan beberapa mainan dinosaur lain sehinggalah pada suatu hari dia terjaga daripada tidur dan menemukan mainan dinosaur diplodocus betul-betul bersebelahan kepalanya.
“Ketika itulah saya perasan Charlie duduk dekat dengan saya dengan muka yang bangga,” katanya.
Siasat punya siasat, rupanya anak bulus punya ‘projek’
Rupanya, kemunculan mainan dinosaur di rumah Bigge adalah kerja kucing peliharaannya, Charlie yang telah mengambil kesemua mainan berkenaan dari sebuah taska berdekatan dengan kediamannya. Bigge sendiri tak tahu apa yang Charlie suka sangat dengan mainan dinosaur itu.
Charlie, kucing berusia satu tahun dengan bulu hitam dan putih itu ternyata bukan saja suka ‘merompak’ di taska berkenaan. Rupanya, kucing terbabit juga ada mencuri pelbagai barangan lain seperti sudu plastik, cermin mata, penyepit baju dan beberapa mainan lain. Kesian orang yang hilang cermin mata tu, mesti merata dia cari…
“Paling saya terkejut, macam mana dia (Charlie) boleh curi itik getah sebab objek itu agak besar buatnya,” kata Bigge.
Diberi jolokan nama Klepto Cat kerana tabiatnya yang suka ‘meminjam’ barang tanpa kebenaran, Bigge kini sedang berusaha untuk menyatukan semula objek dicuri dengan tuan mereka. Satu papan tanda turut dibuat anak perempuan Bigge untuk memaklumkan kepada jiran tetangga mengenai perangai Charlie dan meminta mereka untuk datang dan ambil barang mereka sekiranya ada yang hilang.
Jelas Bigge lagi, sepanjang dia membela Charlie, kucing itu tak pernah menangkap apa-apa haiwan hidup seperti kebanyakan kucing lain tapi dia gemar merayau dan membawa pulang objek yang biasa digunakan manusia.
Sumber: Mirror
Baca: Si Bulus Kuat Mencuri, Pemilik Buat Papan Tanda Suruh Jiran ‘Hati-Hati’