in

“Sekali kantoi, satu dunia tahu!” – 5 Kes Skandal Luar Negara Yang Pernah Hangatkan Media Sosial

Curang Kes Gemparkan Media Sosial

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Belakangan ini, isu curang kembali menjadi topik hangat yang memenuhi ruangan media sosial.

Isu kecurangan ini bukan sekadar melibatkan orang biasa. Ramai selebriti, atlet dan individu berprofil tinggi pernah berdepan kontroversi sama sehingga ada yang kehilangan pasangan, kerjaya bernilai jutaan dolar, malah reputasi yang dibina selama bertahun-tahun turut musnah.


Lebih menarik, kebanyakan kes terbongkar bukan melalui pengakuan sendiri, tetapi hasil rakaman kamera, mesej yang didedahkan atau gambar yang tersebar di media sosial.

Jom imbas semula beberapa skandal curang luar negara yang pernah menggegarkan dunia dan menjadi bualan jutaan netizen.

1. CEO kantoi ketika konsert Coldplay

Img 0607

Kes yang paling hangat diperkatakan tahun lalu membabitkan seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat astronomi, Andy Byron yang didakwa kantoi ketika menghadiri konsert Coldplay di Gillette Stadium, Amerika Syarikat.

Menerusi paparan kamera stadium atau kiss cam, Byron dilihat bersama seorang wanita yang merupakan Pengurus Sumber Manusia, Kristin Cabot sebelum kedua-duanya kelihatan panik dan cuba mengelak daripada dirakam.

Reaksi spontan pasangan itu yang segera tunduk, cuba menyembunyikan diri dan berlalu membelakangi lensa membuatkan vokalis Coldplay, Chris Martin berseloroh mengenai tingkah laku mereka.

“Oh, apa ni… sama ada mereka ada hubungan sulit atau mereka sangat pemalu,” gurau Martin ketika itu.

Rakaman itu pantas menjadi tular di semua platform media sosial dengan jutaan tontonan. Siasatan netizen mendapati kedua-duanya sudah pun mempunyai pasangan masing-masing.

Akibat insiden itu, kedua-duanya dikatakan telah meletak jawatan dan pengakuan Cabot sendiri mengatakan ia telah menghancurkan kerjayanya. Malah, anak-anaknya turut terkesan apabila mereka menerima kecaman dan ancaman bunuh.

2. Tiger Woods skandal dengan beberapa wanita

Artworks 000367686189 Vrb85N T500X500

Kes curang melibatkan legenda golf, Tiger Woods merupakan antara skandal terbesar dalam sejarah sukan dunia kerana ia bukan sahaja menjejaskan kehidupan peribadinya, malah hampir memusnahkan kerjaya dan empayar komersial yang dibinanya.

Pada 2009, media mendedahkan dakwaan bahawa Woods menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita.

Selepas pendedahan pertama itu, semakin ramai wanita tampil mendakwa mempunyai hubungan intim dengannya. Laporan media ketika itu menyebut lebih daripada 10 wanita mengaitkan diri dengan pemain golf tersebut.

Isteri Woods, Elin Nordegren mendapat tahu dirinya dicurangi hingga berlakunya pergaduhan besar antara mereka. Tekanan yang semakin memuncak menyebabkan Woods akhirnya mengakui berlaku curang terhadap isterinya dan memohon maaf secara terbuka dalam satu sidang media pada Februari 2010.

Kecurangan yang dilakukan oleh Woods juga telah menyebabkan beliau kehilangan beberapa penaja yang mana nilai kerugian dianggarkan mencecah ratusan juta dolar.

Susulan isu itu juga, Woods terpaksa berehat daripada golf selama beberapa bulan bagi memberi tumpuan kepada keluarga dan mendapatkan rawatan berkaitan masalah kehidupan peribadinya.

3. Adam Levine mesej pempengaruh ketika isteri sedang hamil

Adamaffair 1200200922050502

Pada 2022, Adam Levine menjadi topik hangat gara-gara pengakuan berani mati pempengaruh Sumner Stroh yang mendakwa vokalis kumpulan Maroon 5 itu telah berlaku curang ketika isterinya Behati Prisloo sedang hamil anak ketiga mereka.

Dalam mesej perbualan yang dikongsikan, Sumner mendedahkan Adam ingin meletakkan namanya sama dengan kepada anak ketiga yang masih dalam kandungan isterinya. Malah, dia turut mengakui bahawa sebelum ini dia pernah menjalani hubungan sulit bersama Adam.

Setelah kecoh, Adam akhirnya bersuara dengan menafikan bahawa dirinya curang atau mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain tetapi cuma melampaui batas pada ketika itu.

Dia juga berkata bahawa dia amat sayangkan isteri dan anak-anaknya dan sikapnya yang naif tersebut telah mempertaruhkan satu-satunya perkara penting di dalam hidupnya.

Menurut Adam lagi, ini merupakan kesilapan terbesar yang pernah dilakukannya dan dia akan bertangunggjawab sepenuhnya dengan apa yang telah berlaku.

4. Skandal cinta lokasi Kristen Stewart

Images 3

Pada 2012, pengarah filem Snow White and the Huntsman, Rupert Sanders dan pelakon utamanya, Kristen Stewart menjadi tajuk utama media selepas gambar mereka berdua dalam keadaan mesra tersebar.

Ketika itu, Kristen masih menjalin hubungan cinta bersama kekasihnya ketika itu iaitu Robert Pattinson, manakala Sanders pula sudah berkahwin dengan model Liberty Ross.

Kebocoran gambar tersebut mencetuskan kekecohan sehingga Kristen dan Sanders tampil memohon maaf. Namun selepas insiden itu, Pattinson mengambil langkah drastik berpindah keluar daripada rumah yang diduduki bersama.

Malah, ada peminat memberikan reaksi berang dengan tindakan Kristen melalui sebuah video yang dimuat naik khas kepada pelakon tersebut.

5. Hugh Grant ditangkap khalwat bersama seorang pelacur

E 1944Vweaa016

Kes Hugh Grant menjadi antara skandal selebriti paling sensasi pada era 1990-an kerana berlaku ketika dia sedang berada di puncak populariti Hollywood dan menjalinkan hubungan dengan aktres terkenal, Elizabeth Hurley.

Pada 1995, Hugh dilaporkan ditahan polis di Los Angeles selepas didapati berdua-duaan dengan seorang pelacur, Divine Brown, ketika masih menjalinkan hubungan dengan kekasihnya.

Penahanannya mengejutkan peminat di seluruh dunia kerana dia dikenali dengan imej lelaki sopan dan romantik.

Hugh kemudian mengaku bersalah atas pertuduhan berkaitan perlakuan tidak senonoh di tempat awam (lewd conduct). Dia dikenakan denda, diarahkan mengikuti program pendidikan berkaitan AIDS, serta menjalani tempoh percubaan.

Selepas kejadian itu, Hugh tampil membuat permohonan maaf secara terbuka. Dia mengakui telah melakukan kesilapan besar dan menerima sepenuhnya tanggungjawab atas tindakannya.

Kes-kes ini membuktikan bahawa kecurangan bukan sahaja mampu memusnahkan hubungan, malah memberi kesan besar terhadap kerjaya, reputasi dan kehidupan peribadi seseorang.

Lebih-lebih pada zaman sekarang ini, satu rakaman video, mesej yang bocor atau gambar yang tersebar sudah cukup untuk mencetuskan kecaman di seluruh dunia dalam masa singkat.

Sumber: BBC, Astro Awani, People

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.