Sebagai ibu bapa, pastinya akan berasa bimbang apabila mendapati anak membeli ‘jajan pelik’ yang dilihat boleh memudaratkan kanak-kanak.
Itulah apa yang dialami oleh seorang wanita yang meluahkan kebimbangannya selepas mendapati anaknya telah membeli jajan menyerupai deodoran dari peniaga yang berniaga berhampiran pagar sekolah.
Difahamkan, cara makan jajan itu perlu dijilat atau menghisap untuk meminum air dari botol berkenaan.
Menurut wanita itu, dia telah pun memberi peringatan kepada anaknya namun tidak diendahkan oleh si kecil.
“Semalam semasa ambil anak balik sekolah tengok dia tengah sedut benda ini. Ingatkan buat apa, rupa-rupanya ini jajan yang dia beli depan sekolah.
“Semalam anak sedut hampir terlepas bola itu (masuk) ke dalam mulut dia,” tulisnya.

Artikel berkaitan: KKM Larang Penjualan Gula-Gula Kenyal Bentuk Mata Di Semua Platform Atas Talian Dan Pasaran Domestik
Artikel berkaitan: “Saya lihat air matanya bertakung menahan sakit” – Murid Tercekik Gula-gula ‘Gummy’ Sedang Tenat
Katanya lagi, dia sudah beberapa kali memarahi anaknya supaya tidak membeli makanan di hadapan sekolah selain mencatu duit belanja.
“Bukan tidak pernah beri amaran supaya jangan membeli, tapi budak-budak ini banyak kali pesan bukan dia dengar. Saya bagi duit RM4 dekat dia. Memang cukup-cukup untuk makan dekat sekolah.
“Tapi dia memang akan simpan at least RM1 untuk membeli waktu balik,” kongsinya.
Dakwa dah pernah beri amaran & DBKL masuk campur
Tambahnya, peniaga terbabit telah pun diberi amaran malah pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sudah melakukan sitaan beberapa kali, namun mereka masih degil dengan tetap meneruskan perniagaan di hadapan sekolah berkenaan.
Bukan sahaja ‘jajan pelik’ yang dijual, malah peniaga ini turut menjual makanan berproses seperti sosej dan megi yang tidak diketahui status halalnya.
“Dah buat laporan kepada DBKL tapi kadang-kadang mereka datang peniaga dah balik.
“Pernah DBKL ambush tapi lepas sejam mereka meniaga balik” luahnya.
Perkongsian wanita itu telah meraih perhatian ibu bapa yang terkejut melihat jajan tersebut dijual terutama kepada golongan kanak-kanak.
Sumber: Kosmo!
