Peneraju utama Akulah Balqis, Nadia Brian sah bergelar isteri kepada Muizz Nasruddin kira-kira jam 12.03 tengah hari tadi, dengan sekali lafaz.
Majlis yang dihadiri keluarga terdekat menyaksikan pengantin perempuan menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh, selain menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 dan wang hantaran RM50,000.
Pasangan berkenaan dinikahkan oleh Imam Masjid Al Ikhlas, Shah Alam, Muhammad Shahar Abidin selepas dua tahun berkenalan.
“Alhamdulillah segala-galanya dipermudahkan dan kini saya dan suami mengecap fasa baharu dalam ikatan perkahwinan.
“Insya-Allah, kami akan sama-sama melayari bahtera rumah tangga ini dengan sebaik mungkin,” katanya memetik Berita Harian.
Mengimbas kembali detik perkenalan dengan suaminya, Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 28, mengenali suaminya menerusi teman baik yang juga pelakon, Ainul Aishah.
Nadia yang juga popular menerusi drama Cinta Tanpa Henti itu turut menyifatkan, kesungguhan suami dalam menambat hatinya antara sebab utama dia bersedia menjalinkan hubungan, sekali gus menuju gerbang perkahwinan.
“Pada peringkat awal perkenalan, saya sendiri tidak mahu memberikan sebarang harapan kepadanya, selain sibuk dengan aktiviti lakonan, waktu itu.
“Namun, penghujung tahun lalu, kami mula menjadi rapat. Dia juga tidak pernah berputus asa untuk menambat hati saya.
“Seterusnya, Februari lalu, saya menerima lamarannya di kota Paris, bersaksikan Menara Eiffel,” katanya.
Turut hadir pada majlis pernikahan itu ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, bersama isteri.