Sebuah tokong kecil di Thailand jadi sunyi-sepi selepas kesemua sami dalam tokong berkenaan ‘diangkut’ pihak polis gara-gara kesemuanya positif dadah.
Menurut laporan BBC, empat sami di tokong itu diuji positif methamphetamine dan tokong tersebut terletak di wilayah utara Phetchabun.
Difahamkan, serbuan itu dilakukan bersempena kempen nasional untuk menangani pengedaran dadah, kesemua mereka kemudiannya dihantar ke klinik kesihatan untuk menjalani pemulihan dadah.
Kesemua sami itu dilaporkan telah dibawa keluar dari tokong selepas polis menjalankan ujian air kencing pada hari Isnin dan setakat ini pihak berkuasa tidak menyatakan apa yang telah membawa tokong itu kepada perhatian polis.
Jurucakap pihak berkuasa, Boonlert Thintapthai menyatakan tokong itu kini kosong kerana ketiadaan sami dan disebabkan itu penduduk kampung berhampiran bimbang mereka tidak boleh membuat sebarang merit.
Merit merupakan amalan Buddha yang penting di mana penyembah mendapat kekuatan perlindungan melalui perbuatan baik – dalam konteks ini dengan memberi makanan kepada sami.
Sebagai info, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, methamphetamine telah menjadi isu utama di Thailand kerana rampasan dadah itu mencapai tahap tertinggi pada 2021, menurut Pejabat Dadah dan Jenayah PBB.
Pil itu kemudiannya dijual di jalanan dengan nilai sekitar 50 Baht (RM 6.30).