Umat Islam di Malaysia diberikan peringatan tegas agar tidak sesekali cuba menunaikan ibadah haji tanpa permit atau visa sah. Tindakan tersebut bukan sahaja melanggar hukum agama dari sudut ketaatan kepada pemerintah, malah berdepan risiko denda berat sehingga 100,000 riyal Arab Saudi serta tindakan undang-undang lain oleh kerajaan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menjelaskan bahawa berdasarkan keputusan Muzakarah Haji Kebangsaan, perbuatan tersebut dikategorikan sebagai berdosa kerana melanggar peraturan yang ditetapkan, walaupun ibadahnya dianggap sah.
Artikel berkaitan: Persiapan Haji 2026 Berjalan Lancar, Fokus Penambahbaikan Infrastruktur & Logistik
Artikel berkaitan: Masjid Al Muhajirin Sediakan Jaket Elak Gangguan Visual Ketika Solat

“Sekiranya tertangkap, mereka boleh didenda hingga 100,000 riyal Arab Saudi dan bagi warga asing, mereka boleh dihantar pulang terus ke negara mereka.
Mana-mana pihak yang membantu atau bersubahat juga boleh dikenakan hukuman penjara hingga enam bulan dan denda hingga 50,000 riyal Arab Saudi,” katanya.
Menjaga Reputasi Malaysia Sebagai Penanda Aras Dunia
Dr Zulkifli menekankan bahawa disiplin dan pengurusan haji Malaysia telah lama diiktiraf sebagai antara yang terbaik di peringkat global. Oleh itu, jemaah digesa untuk mengekalkan imej bersih negara sepanjang berada di Tanah Suci.
“Malaysia telah diiktiraf sebagai negara yang mempunyai pengurusan haji terbaik di dunia.
Ini menunjukkan negara kita mempunyai kayu ukur yang sangat-sangat tinggi, kita tidak mahu ada satu dua kes yang menyebabkan imej negara kita tercalar. Jemaah haji kita adalah duta-duta kecil negara kita,” katanya lagi.
Hubungan diplomatik yang erat ini turut membolehkan inisiatif seperti Makkah Route diteruskan, yang memudahkan proses imigresen jemaah di KLIA sebelum berlepas.
Kekal Kos Haji Meskipun Inflasi Global Meningkat
Di sebalik cabaran ekonomi dan tekanan inflasi dunia, Lembaga Tabung Haji (TH) komited untuk tidak menaikkan kos ibadah haji bagi jemaah Malaysia. Segala peningkatan kos operasi, termasuk pengangkutan dan penginapan, akan diserap oleh pihak TH.
Keupayaan ini adalah hasil daripada perancangan strategik (scenario planning) yang telah disusun bagi menghadapi krisis global seperti konflik di Asia Barat atau kenaikan harga bahan api.
Sumber: Berita Harian
