Tidak lama dulu, tular satu kejadian yang melibatkan seorang remaja lelaki yang dilaporkan maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di soket bas ekspres dekat Terminal Bas Penang Sentral.
Difahamkan terdapat kesan lecur pada jari kiri mangsa yang disyaki akibat renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit berdasarkan keadaan penghujung kabel cair serta peranti itu juga dalam keadaan panas.
Artikel berkaitan: Kes Remaja Maut Terkena Renjatan Elektrik: Operasi Bas Ekspres Terbabit Digantung Serta-merta
Artikel berkaitan: Seorang Remaja Maut Akibat Terkena Renjatan Elektrik Ketika Cas Telefon Di Soket Dalam Bas
Bas ekspres dilarang guna soket pengecas telefon – Dewan Rakyat
Susulan kejadian meragut nyawa itu berlaku, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, larangan sementara itu diadakan sehingga laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian tersebut selesai dijalankan.
Sekarang ini semua bas ada soket ini dilarang guna soket ini sementara waktu sebab kita nak dapatkan punca sebenar insiden ini dulu.
“Selepas pasukan petugas khas ini sediakan laporan, kalau ada penambahbaikan perlu dilakukan, Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk melihat balik prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan sebelum penggunaan soket ini dibenarkan dalam bas ekspres,” katanya.
Anthony juga memaklumkan bahawa penumpang tidak perlu khuatir berhubung keselamatan penggunaan soket pengecas telefon dalam pesawat dan kereta api.
Soket di kedua-dua pengangkutan itu memiliki piawaian yang perlu dipatuhi oleh syarikat pembuat pesawat dan kereta api.
Bas memang sekarang tidak ada piawaian tersebut. Setakat ini dalam pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan sebagainya, soket tidak dimasukkan sebahagian daripada pemeriksaan.
“Kita akan lihat balik SOP tersebut bersama ST untuk memastikan penggunaan soket ini dalam bas perlu ada satu standard piawaian,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, MOT melalui APAD juga telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali bas ekspres yang terbabit dalam kejadian itu pada 4 November lalu.
Syarikat ini juga perlu mengemukakan maklum balas kepada APAD selewat-lewatnya pada 6 November 2024.
Berhati-hati ya korang kalau cas telefon tu. Pastikan peranti , kabel dan soket pengecas semua dalam keadaan baik sebelum guna.
Sumber: Kosmo!