Kalau kebanyakan kita hanya melalui peperiksaan SPM sekali seumur hidup, lain pula kisah seorang guru Matematik ini apabila beliau sudah 25 kali menjadi calon SPM.
Zulkifli Md Pungut, 58, yang juga Pengetua SMK Simpang Renggam, Johor, sekali lagi menjadi calon SPM tahun ini selepas mula menduduki peperiksaan berkenaan sebagai guru pada 2011.
Namun, bagi beliau, pengalaman tersebut bukan semata-mata untuk mendapatkan keputusan, sebaliknya menjadi peluang memahami sendiri cabaran yang dilalui para pelajar ketika menghadapi SPM.
Menurut Zulkifli, pengalaman itu juga digunakan untuk melihat sendiri tahap kesukaran soalan, perubahan format peperiksaan serta tekanan yang dirasai calon ketika berada di dalam dewan peperiksaan.
“Duduk di dalam dewan peperiksaan membuka mata saya tentang tekanan masa, keletihan mental dan rasa cemas yang dialami calon.
“Pengalaman ini mengubah pendekatan pengajaran saya. Saya tidak lagi hanya mengajar tajuk dalam modul, tetapi turut memberikan tumpuan kepada teknik pengurusan masa, strategi menjawab di bawah tekanan dan pengurusan emosi,” katanya.
Beliau memfokuskan subjek Matematik dan Bahasa Inggeris dengan rekod keputusan yang konsisten pada gred A dan A+ sebagai penanda aras prestasi peribadi, selain menjadi sumber inspirasi kepada pelajarnya.

Artikel berkaitan: Warga Emas Umur 65 Tahun Duduki Peperiksaan SPM, Nak Buktikan Usia Bukan Penghalang Untuk Berjaya!
Artikel berkaitan: Tak Dapat Duduki Kertas “Add Math” Masa Sekolah, Guru 51 Tahun Akhirnya Dapat Result A Lepas 34 Tahun!
Soalan SPM kini lebih tekankan KBAT
Bagi Zulkifli, antara perubahan paling ketara dalam SPM moden ialah penekanan yang semakin tinggi terhadap Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).
Soalan kini bukan hanya meminta calon membuat pengiraan rutin atau menghafal formula, sebaliknya mereka perlu menganalisis maklumat, memahami konsep dan mengaplikasikannya dalam situasi kehidupan sebenar.
Menurut beliau, pengalaman menduduki SPM berkali-kali bukan sahaja membantu meningkatkan pendekatan pengajarannya, malah membolehkannya lebih memahami tekanan yang dihadapi pelajar sekali gus menjadikan beliau lebih peka terhadap keperluan dan cabaran anak muridnya.
Sumber: Astro Awani
