Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tampil memberikan penjelasan berhubung rakaman video insiden pertelingkahan yang tular di media sosial, yang berlaku di Stesen Labu pada 15 September lalu.
Menurut KTMB, individu yang terlibat dalam insiden berkenaan bukan kakitangan KTMB, sebaliknya kakitangan sebuah syarikat kontraktor yang dilantik untuk menjalankan perkhidmatan di stesen tersebut.
Artikel berkaitan : Kantoi Tengah Potong Kabel KTMB, Seorang Lelaki Berjaya Ditangkap
Artikel berkaitan : Tular Video Pakcik Berdiri Rapat & Lintas Landasan Keretapi, KTMB Tampil Beri Respon
Kena gantung tugas serta merta

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, KTMB memaklumkan kejadian itu berlaku susulan gangguan perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan Batu Caves ke Pulau Sebang.
Gangguan berkenaan berlaku selepas sebuah tren terlanggar seekor babi di antara Batang Benar dan Labu, iaitu pada kilometer 446.092. Akibat kejadian tersebut, tren berkenaan terkandas di laluan berkenaan.
Kira-kira 300 penumpang kemudiannya diturunkan di Stesen Labu bagi membolehkan mereka meneruskan perjalanan dengan menggunakan tren berikutnya. Situasi itu turut menyebabkan kelewatan perjalanan sehingga 125 minit daripada jadual asal.
View on Threads
Bagi membantu menguruskan pergerakan penumpang yang terjejas di Stesen Labu, pihak KTMB turut mengarahkan beberapa kakitangannya dari Stesen Seremban ke lokasi. Langkah tersebut diambil bagi membantu melancarkan pengurusan penumpang susulan gangguan perkhidmatan yang berlaku.
Dalam pada itu, KTMB memandang serius insiden pertelingkahan yang berlaku dan menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk tindakan atau tingkah laku yang tidak profesional ketika berurusan dengan penumpang.

Susulan insiden tersebut, pihak kontraktor yang dilantik telah memaklumkan bahawa tindakan serta-merta telah diambil terhadap kakitangan berkenaan.
Individu tersebut telah digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sementara siasatan terperinci dijalankan. KTMB memaklumkan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan.
Sumber : Threads
