Pendaftaran bagi Bank Rakyat Johor Half Marathon (BRJHM) 2026 kini dibuka kepada pelari tempatan dan antarabangsa. Acara berkenaan dijadualkan berlangsung di Iskandar Puteri, Johor pada 7 November 2026.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata,
“Dengan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai USD15,400, BRJHM 2026 menyasarkan penyertaan seramai 5,000 peserta. Penganjuran acara itu mencerminkan komitmen Bank Rakyat dalam menggalakkan gaya hidup aktif dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat, di samping menyokong industri pelancongan sukan di negeri Johor.”
Dianjurkan oleh JomRun dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Kerajaan Negeri Johor, BRJHM 2026 telah menerima lebih 2,000 pendaftaran setakat ini, sekali gus mencerminkan sambutan awal yang amat menggalakkan.
BRJHM 2026 menawarkan tiga kategori larian, iaitu separuh maraton 21.1 kilometer (km), 10 km dan 5 km. Kategori 10 km dan 5 km merupakan acara bukan kompetitif yang terbuka kepada peserta daripada semua peringkat umur.
Manakala, acara separuh maraton 21.1 km akan dipertandingkan secara kompetitif menerusi
kategori lelaki dan wanita bagi peserta Malaysia serta antarabangsa berusia antara 18 hingga 39 tahun. Kategori Veteran pula dibuka kepada peserta berusia 40 tahun dan ke atas.
Tambah Bank Rakyat,
“BRJHM 2026 bukan sekadar platform untuk Bank Rakyat mendekati masyarakat, malah menjadi wadah untuk menyatukan komuniti menerusi semangat kesukanan dan kebersamaan, sejajar dengan aspirasi #UntukSemua Bank Rakyat.”
Sementara itu, kemeriahan BRJHM 2026 akan bermula lebih awal menerusi Bank Rakyat Sports Festival yang bakal berlangsung pada 5 dan 6 November 2026, menghimpunkan pelbagai jenama sukan yang menawarkan promosi eksklusif dan aktiviti interaktif untuk peserta dan pengunjung.
Festival sukan tersebut akan diadakan serentak dengan sesi pengambilan kit larian yang mana lokasinya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi Bank Rakyat dan media sosial JomRun.
Pendaftaran boleh dibuat melalui laman web atau aplikasi JomRun di https://www.jomrun.com/event/BankRakyatJohorHalfMarathon atau dengan mengimbas kod QR rasmi yang tertera pada bahan promosi BRJHM 2026.

“Orang ramai digalakkan untuk mendaftar segera kerana jumlah penyertaan adalah terhad. Lebih istimewa, pemegang Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat layak untuk menikmati diskaun 10% bagi yuran pendaftaran,” – ujar Bank Rakyat.
