in

Punca Kematian Kanak-kanak Maut Akibat Influenza Masih Dalam Siasatan – Menteri Kesihatan

influenza

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian seorang kanak-kanak berusia empat tahun di Samarahan, Sarawak yang disyaki berkaitan jangkitan Influenza A.

Ujian makmal awal menunjukkan mangsa positif Influenza A, namun komplikasi utama yang dikenal pasti ialah radang otak yang menyebabkan sawan, sekali gus memerlukan penilaian lanjut sebelum pengesahan dibuat.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa keadaan radang otak boleh disebabkan oleh pelbagai jenis virus dan tidak semestinya berpunca daripada Influenza A.

Oleh itu, pihak KKM menegaskan bahawa keputusan muktamad hanya akan diumumkan selepas hasil siasatan lengkap diperoleh daripada pasukan perubatan dan makmal.

Screenshot 2025 10 11 at 2.52.30 PM

Artikel berkaitan: “Mana yang lagi barai?” – Musim Influenza Kembali, Doktor Kongsi Beza Influenza A & B

Artikel berkaitan: Ramai Alami Batuk & Selsema, Ini 3 Fakta Tentang Influenza Yang Korang Kena Tahu

Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga laporan akhir dikeluarkan.

Menurutnya, kebanyakan kes Influenza di Malaysia ketika ini hanya melibatkan simptom ringan dan keadaan masih terkawal meskipun terdapat peningkatan wabak di beberapa kawasan.

Setakat ini, sebanyak 116 wabak dan 97 kluster Influenza telah direkodkan di seluruh negara.

Walaupun angka tersebut menunjukkan peningkatan, KKM memberi jaminan bahawa langkah kawalan dan pemantauan telah dijalankan dengan berkesan melalui sistem pengawasan penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI).

Screenshot 2025 10 11 at 2.52.21 PM

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada dengan mengamalkan langkah pencegahan asas seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan kerap, mengelakkan tempat sesak serta melindungi golongan berisiko tinggi.

Beliau turut menegaskan bahawa KKM bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk memastikan maklumat terkini dan panduan kesihatan disalurkan dengan cepat bagi mengekang penularan jangkitan di sekolah dan komuniti.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.