Bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah menafikan dakwaan bahawa dia akan “dibebaskan serta-merta” melalui pengampunan diraja sekiranya Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum (PRU15).
Dalam laporan FMT, peguamnya, Shafee Abdullah, berkata Najib Razak meluahkan rasa kecewa kerana namanya digunakan sebagai ‘propaganda politik’ walaupun dia sedang menjalani hukuman penjara.
“Anak guam kami ingin menafikan dakwaan ini secara mutlak dan beliau dengan konsisten menegaskan sejak mula perbicaraannya pada 2018 bahawa dia ingin dibebaskan melalui proses kehakiman mahkamah kerana beliau bukan sahaja mahu mendapatkan kebebasannya, tetapi juga menjaga legasi dan integritinya.” katanya.
Shafee Abdullah juga berkata Najib yakin permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman penjara dalam kes SRC International adalah peluang terbaiknya untuk dibebaskan dari penjara.
“Anak guam kami turut menggesa pesaing politiknya untuk tidak lagi terlibat dalam propaganda politik yang tidak berasas dan membenarkan proses undang-undang berjalan.” tambahnya lagi.
Sebagai info, Najib Razak disabitkan atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram, dia kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.
Baca: “Nak berkempen biar berhemah sikit” – Yana Najib Buka Mulut Isu Bapa Masuk TV