Kerajaan Malaysia baru-baru ini mengumumkan peruntukan strategik sebanyak RM50 juta untuk menubuhkan Dana Perkhidmatan Pos, satu langkah penting bagi memastikan Pos Malaysia Berhad kekal relevan dan mampan dalam landskap ekonomi digital yang pesat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, memaklumkan dana tersebut disalurkan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah prinsip Universal Service Obligation (USO), selaras dengan Akta Perkhidmatan Pos 2012.
Datuk Fahmi menjelaskan bahawa Dana Perkhidmatan Pos ini berfungsi seumpama Universal Service Provision Fund dalam sektor telekomunikasi, bertujuan membolehkan perkhidmatan pos dan kurier negara terus berdaya saing dalam era komunikasi digital dan e-dagang.
Inisiatif strategik ini dijangka membantu Pos Malaysia melaksanakan transformasi menyeluruh agar terus berdaya tahan menghadapi cabaran baharu dalam penghantaran surat dan kurier.
Dalam usaha mengukuhkan ekosistem ini, Menteri Komunikasi turut mengumumkan rancangan kerajaan untuk meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012. Pindaan ini penting untuk:
- Memperluas skop akta bagi merangkumi perkhidmatan kurier secara rasmi.
- Menyesuaikan peruntukan dengan perubahan pesat dalam ekosistem ekonomi digital dan rantaian nilai semasa.
Datuk Fahmi menekankan bahawa Akta yang digubal pada 2012 itu belum mengambil kira lambakan platform e-dagang dan penghantaran kurier secara besar-besaran seperti hari ini.
“Kini, sudah tiba masanya beberapa peruntukan dipinda supaya ekosistem ini kekal lestari dan kebajikan pekerja terus terpelihara”
Artikel berkaitan : Mahkamah Arah Google Bayar RM1.48 Billion Sebab Menyalahgunakan Data Telefon Mudah Alih Tanpa Kebenaran Pengguna
Artikel berkaitan : Bermula Esok, Ini 7 Perkara Baharu Yang Mula Berkuat Kuasa Di Malaysia
Pengumuman ini dibuat oleh Datuk Fahmi Fadzil semasa sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International bersempena sambutan Hari Pos Sedunia 2025 yang bertemakan “#PosUntukRakyat: Perkhidmatan Tempatan, Capaian Sejagat”, di Shah Alam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, serta Pengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar.