Dalam usaha mencegah jenayah, pihak berkuasa kebiasaanya menggunakan kenderaan yang berteknologi tinggi. Ini bagi memastikan kawasan setempat selamat di samping membendung gejala jenayah daripada mengancam penduduk.
Walau bagaimanapun, polis United Kingdom telah mengambil keputusan untuk memperkenalkan tuk-tuk sebagai salah satu kenderaan untuk mencegah jenayah.
Polis di sebuah daerah di Wales, telah memperoleh empat kenderaan tiga roda untuk digunakan di Newport dan Abergavenny dalam daerah Gwent.
Kenderaan yang ikonik di negara Thailand dan India itu akan digunakan oleh pegawai Polis Gwent untuk meronda kawasan taman, laluan pejalan kaki dan ruang awam.
Kelajuan tuk-tuk itu pula telah dihadkan kepada 55 kilometer sejam. Memetik laporan Times Now, Polis Gwent berkata bahawa tuk-tuk akan digunakan sebagai ‘ruang selamat’ di mana jenayah boleh dilaporkan, bantuan dicari dan nasihat pencegahan jenayah diberikan.
Ketua Inspektor Damian Sowrey berkata pameran kenderaan baharu polis itu telah memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk melihat mereka secara dekat dan mendengar lebih lanjut tentang cara ia akan digunakan.
Maklum balas yang diberikan penduduk adalah sangat positif dengan ibu bapa merasakan lebih selamat mengetahui bahawa terdapat sokongan untuk golongan muda keluar pada waktu malam.
Kenderaan pencegah jenayah milik polis Gwent ini dibuat oleh Mahindra Electric, pengeluar utama tuk-tuk di India.
Baca: “Kuat menyakat” – [VIDEO] Polis Bantai Gelak Tengok Mat Motor Mencecet Lari Dekat Stesen Minyak