Perang saudara ni kita selalu dengar terjadi kat luar negara je dan tak pernah berlaku kat negara kita. Walaupun tak jadi kat Malaysia, rupa-rupanya tentera Malaysia pernah terlibat dengan perang saudara yang berlaku kat Somalia suatu ketika dulu.
Ini kisah tentera Malaysia membantu menyelamatkan tentera Amerika ketika Perang Saudara Somalia yang ramai tak tahu:
Somalia bergolak sejak merdeka
Siapa pernah tengok filem blockbuster Hollywood Black Hawk Down yang famous tahun 2001 dulu? Filem ni berdasarkan kisah benar pasal operasi menyelamat tentera Amerika Syarikat yang dikepung dalam operasi kat Somalia. Time ni ramai tak tahu yang tentera Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu askar Amerika.
Somalia ni sebuah negara yang banyak puak. Jadi dorang sentiasa dalam keadaan bergolak dan selalu berlaku perang saudara sejak dapat kemerdekaan pada tahun 1960. Pada tahun 1969 seorang ahli politik Mohamed Siad Barre merampas kuasa dan lantik diri sendiri jadi Presiden Somalia pada 1991. Tapi pemerintahan dia tak kekal lama sebab kena guling dengan United Somali Congress (USC).
Serbuan jadi misi menyelamat
Pada 3 Oktober 1993, tentera Amerika Syarikat telah membuat satu serbuan di Mogadishu, Somalia ketika perang saudara Somalia yang masih berterusan waktu tu. Tujuan serbuan tu adalah untuk menculik panglima perang Somalia bernama Mohamed Farrah Aidid. Pertempuran yang berlaku lepas kes ni dikenali sebagai Pertempuran Mogadishu (3-4 Oktober).
Tapi pertempuran yang berlaku ni tak berjalan dengan lancar sebab militan Somalia menembak helicopter UH-60 Black Hawk milik Amerika dan menyebabkan 70 orang ranger dalam askar terdampar kat tanah. Kat sini lah operasi yang awalnya bertujuan untuk menculik tiba-tiba berubah jadi misi menyelamat.
Lebih 100 tentera Malaysia dihantar ke Somalia
Sewaktu pertempuran Mogadishu ni lah United Nations Operation in Somalia II (UNOSOM II) menghantar lebih daripada 100 orang Askar Batalion ke-19 Rejimen Tentera Diraja Malaysia ke sana. Mereka adalah sebahagian daripada pasukan keamanan UN yang membantu misi menyelamat berkenaan.
Menurut Astro Awani, Timbalan komander Askar Batalion Major General (R) Datuk Md Rozi Baharom ketika itu membantu mengetuai pasukan ke Mogadishu untuk memberikan bantuan kepada tentera Amerika dalam usaha mendapatkan Farrah Aidid dan orang-orangnya.
“Kami dengar dentuman bom tak putus-putus”
Lepas helikopter black hawk pertama ditembak, satu konvoi bantuan telah dihantar ke kawasan berkenaan disertai oleh pasukan Pakistan dan pasukan UN Malaysia.
“Waktu tu tak ada benda lain yang terlintas di fikiran saya. Semuanya saya serahkan pada takdir. Misi tu tak susah tapi sangat berbahaya. Bila kami terima panggilan arahan petang tu, masih boleh dengar lagi bunyi dentuman bom yang tak putus-putus,” kata Sarjan Tukirin Bukari, seorang bekas tentera ketika ingat balik kenangannya berjuang di Somalia.
“Tapi kami teruskan perjalanan ke lokasi yang ditugaskan tu dan ikut saja arahan.”
Konvoi tu disertai lebih daripada 100 buah kenderaan disokong oleh helikopter serangan Cobra dan Black Hawk dalam perjalanan ke Bakaara Market, Mogadishu untuk menyelamatkan 70 ranger yang terperangkap.
Askar Malaysia terkorban dalam letupan guna bom tangan
Sewaktu konvoi dalam perjalanan ke bandar, tentera Amerika bersama-sama dengan askar lain terus mempertahankan krew dan penyelamat yang terkandas lepas helikopter pertama tu ditembak. Masa tu dorang terpaksa berdepan dengan serangan lebih dahsyat dari militan Somalia.
Ketika ini lah Koperal Mat Aznan Awang yang baru berusia 24 tahun menjadi satu-satunya tentera yang terkorban pada 4 Oktober. Dia dikatakan sedang memandu sebuah kenderaan ketika tiba-tiba ditimpa Rocket-propelled Grenade (RPG). Tujuh orang tentera Malaysia yang lain terselamat dalam kejadian tetapi mengalami kecederaan.
Koperal Mat Aznan telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa atas kesungguhan perjuangannya.
Tentera Amerika berjaya diselamatkan
Bila tentera-tentera di dah sampai ke Bakaara Market tadi, Sarjan Tukirin menceritakan bahawa pasukan tentera begitu sedih apabila dimaklumkan dengan pemergian Koperal Aznan. Tapi dorang tetap teruskan misi serangan ke atas militan Somalia dengan harapan dapat menyelamatkan ranger Amerika.
“Kami mulakan serangan dan menembak musuh. Tembakan tu berterusan selama beberapa ketika tapi kami akhirnya berjaya mengalahkan militan-militan yang bersembunyi di bangunan berdekatan.”
“Waktu kami jumpa dengan tentera-tentera Amerika tu, ramai di antara mereka yang cedera teruk. Ada yang hilang kaki, yang lain penuh berlumuran darah. Jadi kami cepat-cepat bawak tentera Amerika yang cedera tu bersama-sama tentera Malaysia masuk dalam kenderaan. Yang tak cedera pula berlari ikut dari belakang untuk keluar dari zon peperangan tu,” kata Tukirin lagi.
Usaha menyelamat tu membuahkan hasil dan akhirnya dorang semua berjaya keluar daripada Mogadishu pada jam 6 pagi.
Fuh, besar jasa dan pengorbanan dorang. Kepada semua tentera, askar, polis dan penyelamat di seluruh negara, terima kasih atas perjuangan anda!