Penafian: Artikel ini mengandungi gambar/video/penulisan yang mungkin kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Kebijaksanaan pembaca amat diharapkan.
Baru-baru ini kita digempar dengan sebuah berita mengenai kematian seorang penonton selepas dirempuh kereta yang terbabas ketika menyaksikan Pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor.
Difahamkan kemalangan tersebut berlaku setelah dua buah kereta yang sedang berlumba itu bergesel antara satu sama lain sehingga menyebabkan sebuah kereta terbabas sebelum hilang kawalan ke arah tepi litar dan melanggar seorang penonton yang berada di situ.
Tengok perlumbaan dari tepi litar?
Menerusi video yang tular di media sosial tersebut, dapat dilihat dua buah kereta lumba sedang menghampiri sebuah selekoh sebelum mereka bergesel dan hilang kawalan sekali gus merempuh seorang penonton yang berada di bahagian tepi litar tersebut.
Susulan kejadian tersebut, ramai pihak yang mempersoalkan aspek keselamatan yang dilaksanakan oleh pihak penganjur yang tidak sepatutnya membenarkan sesiapa pun berada di kawasan tepi litar ketika perlumbaan berlangsung.
Menurut laporan Astro Awani, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu telah melibatkan mangsa lelaki yang juga seorang meknanik sebuah bengkel berusia 32 tahun dan mendapati punca kematian disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.
Kerajaan negeri masih menunggu siasatan lanjut
Dalam satu laporan berbeza oleh UtusanTV, kerajaan negeri Perak akan meneliti laporan penuh daripada penganjur Pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ selepas kemalangan yang mengorbankan seorang penonton itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan berkenaan khususnya melibatkan aspek keselamatan.
“Saya akan umumkan apa tindakan selanjutnya selepas menerima dan meneliti semua laporan penuh termasuk daripada pihak berkuasa dari aspek teknikal, keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya,” katanya.
Tambahnya, tidak akan ada kompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan pada setiap acara sukan bermotor apatah lagi apabila ia melibatkan kehilangan nyawa.
“Pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP),” tambahnya lagi.
Innalillah.. Semoga pihak berkuasa cepat-cepat ambil tindakan…
Baca : Kajian: Ramai Anak Muda Jadi Mat Rempit Kerana Pengaruh Rakan Sebaya, Bukan Salah Kerajaan