Kita sering kali dengar kes buli di sekolah ataupun di institusi pengajian lain. Kebiasaannya kes buli ini berlaku dalam kalangan pelajar asrama dan tak kurang juga dalam kalangan pelajar sekolah harian.
Buli sebenarnya bukan berlaku di Malaysia sahaja, malahan di serata dunia. Menyedari akan buruknya budaya buli disekolah, Parlimen Perancis telah bersetuju menetapkan kes buli sekolah di negara itu sebagai satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan hukuman penjara selama 3 tahun atau denda maksimum sebanyak €150,000 (kira-kira RM715,247).

Menerusi laporan The Guardian, Parlimen Perancis telah mengundi dan bersetuju bahawa budaya buli di sekolah adalah satu kesalahan jenayah. Menteri Pelajaran Perancis, Jean-Michel Blanquer turut menyokong sepenuhnya usaha mewartakan undang-undang terbaharu ini.
Blaquer berkata, dengan pewartaan undang-undang ini, secara tidak langsung pemerintah memberikan mesej yang kuat dan jelas kepada masyarakat tentang bahayanya budaya buli di sekolah.
Tegasnya lagi, hukuman ini bukanlah semata-mata untuk memasukkan pembuli ke dalam penjara, tetapi lebih kepada untuk memberikan pembelaan dan keadilan yang sebaiknya kepada mereka yang menjadi mangsa buli.
Draf undang-undang itu telah dipersetujui oleh ahli-ahli Parlimen Perancis beberapa minggu lepas dan akan dibahaskan di peringkat Senat dalam masa terdekat. Sumber juga mengatakan undang-undang itu bakal berkuatkuasa bermula Februaru 2021.

Dengan penguatkuasaan undang-undang itu, Perancis bakal menjadi negara dengan hukuman paling keras ke atas pembuli di dunia.
Sumber: The Guardian
Baca: 6 Pelajar Suspek Kes Buli MRSM Di Kuala Kangsar Ditahan Polis Untuk Siasatan Lanjut