Aktiviti mendulang emas di Kelantan kini mencetuskan fenomena luar biasa selepas kerajaan negeri itu memberi kebenaran kepada rakyatnya secara sah dengan syarat-syarat tertentu.
Bagaimanapun, pengumuman itu mula mencetuskan pertikaian dalam kalangan rakyat Kelantan apabila ada yang mahu penduduk dan daerah berkenaan sahaja yang diberi kebenaran mengusahakan perlombongan emas.
Menurut seorang pendulang dari Gua Musang, Hafizi Che Mat, 45, mengatakan sejak pengumuman kerajaan negeri berkaitan kebenaran berkenaan, banyak pertikaian timbul di media sosial.
“Macam-macam timbul dan semua berpakat mahu menukar kerjaya kepada pendulang. Ada juga yang mula tamak dengan mahu monopoli kawasan berkenaan dengan melarang kerajaan negeri memberi kebenaran kepada penduduk daerah lain.
“Perkara ini memang sudah dijangka akan berlaku sedangkan di pihak kerajaan sendiri belum mengeluarkan garis panduan atau syarat untuk membolehkan lesen pendulang itu diperoleh,” katanya.

Mendulang emas kerjaya indah khabar dari rupa
Tambah Hafizi, kerjaya mendulang emas ini bukanlah seperti yang digembar-gemburkan sehingga ada yang mahu berhenti kerja untuk mendulang. Katanya, kerja mendulang emas sahaja tidak cukup untuk menyara keluarga.
“Mendulang emas yang sebenar adalah bukan kerjaya mudah dan indah khabar dari rupa. Jangan berhenti dari kerja sedia ada semata-mata mahu pulang ke kampung untuk mendulang.
“Saya sendiri sudah mendulang sejak lapan tahun lalu dan ada ketikanya hanya RM200 hasil mendulang diperoleh dalam tempoh seminggu,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, berharap agar tidak berlaku pertikaian antara penduduk Kelantan berhubung isu mendulang emas.
“Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kebenaran mendulang ini akan dibincangkan dalam mesyuarat kerajaan negeri untuk diperincikan,” katanya.
Sekadar info, mendulang emas merupakan kaedah tradisional masyarakat Melayu sejak lebih seratus tahun lalu, khususnya di negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Pahang.
Sumber: Harian Metro
