Pejabat Wilayah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Kanwil Kemenkumham) Bali telah menghantar pulang seorang lelaki dari Australia ke negara asalnya.
Ia berikutan dengan kelakuannya yang telah mengundang kemarahan penduduk kampung di Bali kerana panjat pokok yang dianggap suci semata-mata nak muat naik kandungan di TikTok.
“Kami akan perintahkan dia meninggalkan Indonesia. Itu juga penalti untuk dia supaya dia tidak boleh tinggal lebih lama (di Bali),” kata Ketua Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Bali, Anggiat Napitupulu, ketika dihubungi pada Isnin (13 /6/2022).
Memetik laporan kompas.com, beliau turut mengatakan bahawa lelaki itu tidak dibenarkan berada di Bali selepas melakukan kekacauan tersebut.
Katanya lagi, lelaki tersebut telah membuat permohonan maaf kepada masyarakat di kampung tersebut terutamanya masyarakat Pura.
Sebelum ini, lelaki yang dikenali sebagai Samuel mengaku bahawa dia ada panjat pokok tersebut beberapa kali, katanya ia adalah hobi dan dia merakamkan aksinya itu di TikTok.
Dia memasuki Indonesia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Tuban, Bali, 6 Jun lalu dengan menggunakan visa pelancong.
Sabtu lalu, penduduk setempat menangkap Samuel dan dibawa ke balai polis, sebelum diserahkan kepada pihak imigresen untuk proses selanjutnya.