Kos menunaikan ibadah haji tahun ini menerusi syarikat pengendali umrah dan haji swasta dijangka mencecah antara RM40,000 hingga RM50,000 seorang berikutan peningkatan kos pengurusan haji.
Menurut Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, kos tersebut meliputi penginapan, makanan dan pengangkutan yang perlu ditanggung jemaah.
Tambahnya lagi, kos bagi seorang jemaah haji untuk menginap di Arafah dan Mina hanyalah sebanyak 1,034 Riyal (RM1,166) sebelum ini. Namun, kos tersebut telah meningkat kepada 5,433 Riyal (RM6,128).
Perkara tersebut didedahkan oleh Razali selepas diminta mengulas tentang jangkaan berlakunya peningkatan mendadak kos menunaikan ibadah haji para jemaah tahun ini apabila Lembaga Tabung Haji (TH) menjangkakan kos meningkat kepada lebih RM25,000.
Difahamkan, peningkatan tersebut disebabkan kenaikan berkaitan cukap serta caj perkhidmatan baharu dan juga kenaikan cukai nilai tambah (VAT) yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
Tambah Razali, mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan swasta ini perlu mengambil kira pelbagai sudut seperti kedudukan hotel dengan masjid yang akan mempengaruhi kos untuk menunaikan ibadah tersebut.
Selain itu, kenaikan harga juga disebabkan kos penginapan yang melambung tinggi berikutan kekurangan hotel yang dibenarkan beroperasi oleh pihak Arab Saudi.
Jika sebelum ini, semasa Ramadan, harga bilik antara RM18,000 hingga RM19,000, tetapi disebabkan jumlah hotel yang dibenarkan beroperasi berkurang, harga bilik hotel mencecah RM25,000.
Dijangkakan, permintaan haji melalui syarikat swasta akan berkurangan disebabkan peningkatan harga ini. Sebagai contoh, harga permulaan kebanyakan pakej haji yang ditawarkan oleh agensi swasta bermula RM25 ribu dan paling tinggi boleh mencecah RM270 ribu!
Baca : Tempat Turun Azab Kini Jadi Tourist Attraction, Ini Sebab Nabi Larang Sahabat Singgah Al-‘Ula