Percutian dan aktiviti rekreasi di beberapa lokasi sekitar Sungai Pertak, Kampung Orang Asli Pertak bertukar menjadi detik cemas apabila beberapa kumpulan pengunjung dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air pada petang Isnin.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.55 petang itu mengakibatkan lapan individu dilaporkan hilang sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan secara besar-besaran oleh pihak berkuasa.
Artikel berkaitan: “Saya tunggu tak datang-datang” – Peniaga Sebak Kenang 4 Sahabat Sempat Pesan Beli Jajan Sebelum Tragedi Lemas
Artikel berkaitan: “Terlihat selipar di tebing sungai” – Budak 5 Tahun Ma*t Dicampak Ke Dalam Sungai Oleh Bapa Saudara Kurang Siuman
Mangsa Pertama Ditemui Awal Pagi
Selepas bertungkus-lumus menyusuri laluan sungai, pasukan penyelamat akhirnya menemukan mangsa pertama pada jam 1.30 pagi Selasa di kawasan sekitar Jambatan Pertak.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang lelaki tempatan dikenali sebagai V Vijayan.
“Mangsa dijumpai dalam jarak 2.7 kilometer dari lokasi dia terjatuh di Lata Jebus. Mayat telah diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Operasi SAR Diperluas Ke 4 Sektor
Pihak bomba meneruskan operasi SAR pada pagi Selasa bagi mengesan tujuh lagi mangsa yang masih belum ditemui. Untuk rekod, lapan mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India.
Operasi pencarian kini ditumpukan di empat sektor sekitar kawasan terjejas dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela, serta agensi berkaitan.
Orang ramai yang berada di kawasan rekreasi air dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan keadaan arus sungai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.
Sumber: Sinar Harian
