Hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) nampaknya turut memberi kesan kepada nilai pasaran tujuh pemain warisan negara yang dahulunya mencecah jutaan ringgit kini menjunam ke tahap sifar.
Menurut laporan, perkara itu dapat dilihat menerusi kemas kini terbaharu laman statistik bola sepak antarabangsa, Transfermarkt.com, yang merekodkan kesemua pemain terbabit tanpa nilai pasaran aktif selepas keputusan hukuman diumumkan.
Pemain sayap, Imanol Manchuca yang mempunyai nilai tertinggi sebanyak RM11.9 juta mencatat penurunan paling drastik.
Penurunan besar turut dialami pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueirido yang kehilangan nilai sebanyak RM9.58 juta, diikuti pertahanan tengah Facundo Garces dengan penurunan RM4.79 juta.
Artikel berkaitan: FIFA Denda FAM Kerana Turunkan Pemain Tak Layak, Diisytihar Kalah 0-3 Dalam 3 Perlawanan
Artikel berkaitan: Tiada Dana Tambahan Disalurkan Buat Sementara Waktu Kepada FAM – KBS
Sementara itu, nilai pasaran bagi Jon Irazabal pula menyusut sebanyak RM2.87 juta. Manakala, Rodrigo Holgado dan Hector Hevel masing-masing merosot RM2.16 juta dan RM1.91 juta.
Seorang lagi pemain, Gabriel Palmero yang sebelum ini bernilai RM239,000 turut dikemas kini pada angka sifar.

Kesemua tujuh pemain tersebut sebelum ini dikenakan denda sebanyak RM10,560 serta digantung selama 12 bulan oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Pada masa yang sama, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga dikenakan denda sebanyak RM1.8 juta.
Bagaimanapun, FAM memilih untuk membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha terakhir bagi melengkapkan proses perundangan, sambil menunggu keputusan yang dijangka memberi impak besar terhadap hala tuju bola sepak Malaysia.
Disebabkan isu ini juga, ranking FIFA Malaysia dilaporkan merosot lima anak tangga ke kedudukan ke-121 dunia, berbanding ranking ke-116 sebelum ini meskipun skuad negara mencatat rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2025.
Sumber: Harian Metro
