in

Najib Razak Buat Permohonan Maaf Terbuka Kepada Rakyat Malaysia Isu Salah Laku Dalam Kes 1MDB

Najib Razak 1Mdb Mohon Maaf

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka mengenai kejadian salah laku dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohd Nizar di kompleks mahkamah Kuala Lumpur, Najib melahirkan rasa dukacita terhadap insiden rasuah 1MDB yang berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Najib berkata, keputusan membuat kenyataan itu dilakukan selepas beliau melakukan refleksi selama 26 bulan di penjara berikutan perkembangan isu berkaitan 1MDB.

“Tiada lain yang dapat saya nyatakan selain memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

Najib memetik artikel yang diterbitkan The Edge awal bulan ini, yang menunjukkan bagaimana Jho Low dan dua eksekutif Petrosaudi, Patrick Mahoney dan Tarek Obaid berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.

Artikel berkaitan: “Tikar sejadah menjadi teman…” – Najib Razak Nukilkan Sebuah Puisi Lepas Setahun Dalam Penjara

Artikel berkaitan: “Perjuangan masih belum tamat” – Yana Najib Kata Masih Ada Peluang Tuntut Keadilan Buat Bapa

“Perbicaraan mahkamah baru-baru ini, sabitan kes terhadap eksekutif PetroSaudi di mahkamah Switzerland dan artikel terkini diterbitkan media (The Edge) yang berdasarkan analisis mereka terhadap kes itu serta e-mel dalaman PetroSaudi.

“Sekali lagi membuktikan saya bukanlah dalang dan tidak bersubahat dengan Jho Low untuk menyeleweng dana 1MDB,” dakwanya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Berita Harian (@beritaharian)

Najib dakwa diperdaya

Katanya, rumusan daripada artikel yang diterbitkan menyatakan PetroSaudi dan Jho Low bersubahat untuk memperdayakan beliau.

“Saya tidak sedar PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan saya tidak langsung mengetahui bahawa saya telah menerima wang daripada dana yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

“Walaupun sukar bagi sesetengah pihak untuk memahami, saya telah dinasihati dan dengan jujur mempercayai pada masa itu bahawa dana yang saya terima adalah sumbangan politik daripada Kerajaan Arab Saudi.

“Terdapat dua sumbangan besar yang disahkan pada 2010 diterima daripada Kerajaan Arab Saudi, iaitu sumbangan tersebut tidak pernah menjadi subjek dalam mana-mana prosiding jenayah ataupun sivil,” dakwanya.

Najib 600X400 1

Najib memberitahu, apabila beliau mula curiga tentang apa sebenarnya berlaku di 1MDB, kebimbangan utama ialah kedudukan kewangannya dan risiko yang ditimbulkannya terhadap hubungan diplomatik serta dua hala di peringkat tertinggi.

“Saya telah pun dihukum atas tanggungjawab yang telah saya pikul walaupun dengan jelas saya bukanlah dalang kepada skandal 1MDB dan tidak pernah sekalipun bersekongkol dengan Jho Low.

“Saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang,” katanya.

Pun begitu, Najib mendakwa bahawa dirinya masih dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara bukan dilakukan dan tidak mengetahui secara sedar.

“Adalah tidak adil kepada saya dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,” katanya.

Untuk info, Ahli Parlimen Pekan itu berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Sumber: Berita Harian

Sumber: Utusan

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.