Gempa bumi merupakan antara bencana alam semulajadi yang sangat kuat dan menghancurkan. Mana tidaknya, ia boleh menyebabkan kemusnahan yang besar, kehilangan nyawa serta merosakkan ekonomi sehingga menjadikan ianya satu ancaman kepada masyarakat.
Sepanjang sejarah, bumi telah mengalami banyak gempa bumi yang kuat serta turut meninggalkan kesan yang berkekalan di kawasan terjejas. Kejadian seismik ini mempunyai kekuatan dalam magnitud yang berbeza-beza sehingga ada gempa bumi yang mencapai tahap yang kita sendiri pun susah nak faham.
Pada artikel kali ini, kita akan tengok senarai gempa bumi yang paling kuat pernah direkodkan dalam sejarah serta kesannya. Jom!
Artikel berkaitan: “Paling Kuat Selama Lebih 4 Dekad” – Ini Apa Korang Perlu Tahu Tentang Gempa Bumi Yang Berlaku Di Jepun Sekarang
Artikel berkaitan: “Gegaran 20-30 saat” – Rakyat Malaysia Cerita Keadaan Terkini Selepas Gempa Bumi Di Jepun
1. Gempa Bumi Valdivia (1960) – 9.5
Turut dikenali sebagai gempa bumi Chile paling dahsyat, ia merupakan gempa bumi terkuat pernah direkodkan dalam sejarah. Gempa bumi ini telah meletus pada tengahari, 22 Mei (waktu tempatan) dan berlaku di kira-kira 160jm dari pantai Chile, sejajar dengan bandar Valdivia. Gempa bumi ini telah berlangsung selama 10 minit dan menyebabkan tsunami besar dengan ombak setinggi 82 kaki!
Tsunami utamanya telah melanda pantai Chile dengan teruk dan turut merentasi Lautan Pasifik dan membadai Hilo, Hawai. Tak cukup dengan itu, ombak setinggi 35 kaki turut direkodkan sejauh 10,000km dari pusat gempa sehinggakan Jepun dan Filipina turut terkesan.
Angka kematian akibat Gempa Bumi Valdivia ini tak dapat nak dipastikan namun begitu, anggaran kematian yang berlaku akibat gempa bumi dan tsunami ini adalah di antara 1,000 ke 6,000 manakala lebih kurang 3,000 orang telah tercedera.
2. Gempa Bumi Alaska (1964) – 9.2
Turut dikenali sebagai Gempa Bumi Good Friday, letusan yang berlaku di Alaska ini telah terjadi pada 27 Mac pada jam 5.36 petang (waktu tempatan). Ia telah berlangsung selama lebih kurang 4.5 minit dan merupakan gempa paling kuat pernah direkodkan di dalam sejarah Amerika Syarikat.
Gempa bumi ini juga telah menyebabkan tsunami setinggi 27 kaki yang memusnahkan perkampungan Chenega dan membunuh 23 dari 68 penduduk di sana. Orang-orang yang terselamat telah cuba lari dari dibadai ombak dengan memanjat tempat yang tinggi. Ia juga turut menyebabkan tanah runtuh di bawah air sehingga meruntuhkan pelabuhan dan dok di bandar Port Valdez dan menyebabkan kematian seramai 30 orang.
Seramai 139 orang dipercayai telah meninggal dunia, 15 akibat dari gempa bumi, 106 dari tsunami di Alaska, 5 dari tsunami di Oregon dan 13 dari tsunami di California.
3. Gempa Bumi Sumatera (2004) – 9.1
Salah satu bencana alam paling dahsyat dalam sejarah baru-baru ini adalah Gempa Bumi Sumatera 2004 yang telah berlaku pada jam 12.58am pada 26 Disember di luar pantai barat Sumatera, Indonesia dan berlangsung selama lapan ke 10 minit dan dikatakan turut mencetuskan gempa bumi di Alaska.
Gempat bumi berskala 9.1 ini telah menyebabkan tsunami yang tersangat besar dengan ombak setinggi 100 kaki dan menyebabkan hampir suku juta kematian di 14 negara termasuk Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand dan Malaysia. Banda Aceh melaporkan kematian tertinggi dan ia dianggap sebagai bencana alam abad ke-21 paling dahsyat.
4. Gempa Bumi Tohoku (2011) – 9.1
Pada 11 Mac 2011 yang lalu, satu gempa bumi bawah laut yang besar telah berlaku di Jepun. Gempa ini telah menyebabkan tsunami yang besar dengan ketinggian 133 kaki.
Ia merupakan salah satu gempa bumi yang meragut paling banyak nyawa dalam sejarah manusia di mana ombak tsunami telah bergerak sejauh 10km dan menyebabkan kemusnahan besar di timur laut Jepun.
Lapangan terbang, jalan dan laluan kereta api telah musnah, 127,290 bangunan runtuh, 272,788 bangunan runtah separuh dan 747,989 bangunan rosak.
5. Gempa Bumi Kamchatka (1952) – 9.0
Satu gempa bumi besar pernah melanda pantai Semenanjung Kamchatka, Rusia pada 4 November 1952. Ia telah menyebabkan tsunami berketinggian 50 kaki telah berlaku dan menyebabkan kemusnahan besar dan kematian seramai lebih kurang 10,000 ke 15,000.
Gempa bumi ini juga turut merosakkan pulau-pulau di Hawai namun tiada kematian direkodkan manakala ombak tsunami telah bergerak dan melanda Peru, Chile dan New Zealand.
Sumber: Geology Science