in

Motosikal Terperosok Bawah Lori, Anggota Polis Maut Ditempat Kejadian

4Maut

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Seorang anggota polis maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dan sebuah lori di Jalan Cheras, dari arah Taman Midah menuju ke Taman Connaught, pada awal petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 tengah hari itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dipercayai melalui kawasan trafik sesak sebelum insiden berlaku. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung nahas tersebut sekitar jam 2.06 petang dan siasatan awal mendapati terdapat kemungkinan sebuah lagi kenderaan terlibat namun masih belum dikenal pasti.


Screenshot 2026 02 28 At 1.37.17 Pm
Motosikal milik mangsa

Mangsa dikenal pasti sebagai anggota polis lelaki berusia 34 tahun yang bertugas di Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman. Hasil siasatan awal mendapati beliau dipercayai menunggang secara mencelah di antara lorong sebelum sebuah kenderaan di hadapan membrek secara mengejut, menyebabkan beliau hilang kawalan.

Akibatnya, motosikal yang ditunggang mangsa terjatuh sebelum beliau tercampak ke laluan kiri dan termasuk ke bawah lori yang sedang bergerak. Mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Pemandu lori berusia 45 tahun tidak cedera dan telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Ujian alkohol mendapati lelaki berkenaan negatif, manakala saringan air kencing masih dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.