Dua pelajar Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) maut selepas dipercayai terjatuh dari tempat tinggi di sebuah kondominium di Taman Melati, Kuala Lumpur dalam tempoh 24 jam.
Difahamkan, kedua-dua kejadian tersebut berlaku secara berasingan sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Menurut laporan, kejadian pertama dilaporkan berlaku sekitar jam 6.45 pagi, yang mana seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun ditemui tidak bernyawa di laluan belakang kondominium selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 22.
Artikel berkaitan: Dakwa Terdengar Bunyi Ketukan Pintu, Lelaki M*ut Jatuh Dari Tingkat 27 Selepas ‘Check-in’ Dengan Tunang
Artikel berkaitan: Misteri Kehilangan Pelajar Myanmar Di Malaysia Terjawab, Disahkan Maut Terjat*h Dari Tingkat 26 Kondo
Kejadian kedua pula berlaku sekitar jam 8.30 malam, juga di kondominium sama membabitkan seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun.
Dalam laporan Oriental Daily, penuntut lelaki terbabit dipercayai jatuh dari aras tinggi, sekitar tingkat 20 di kondominium terbabit. Mayat ditemui berhampiran gelanggang bola keranjang di tingkat bawah.
Pada malam kejadian, polis mengepung kawasan itu untuk melakukan siasatan dan mayat mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
Walaupun kedua-dua kejadian berlaku pada hari yang sama, namun siasatan awal pihak berkuasa mendapati tiada kaitan antara kedua-dua insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan kedua-dua kejadian dan memaklumkan bahawa satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sumber: Harian Metro, Malaysiakini