Prihatin dengan nasib keluarga mangsa, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan pada 26 April lalu untuk berikan biasiswa penuh kepada anak-anak mangsa kru KRI Nanggala 402 yang dilaporkan hilang ketika melakukan misi latihan pertempuran di perairan Bali.
Menurut laporan Liputan6, Juru Bicara Menteri Pertahanan iaitu Dahnil Anzar turut beritahu yang biasiswa itu akan diberikan kepada 53 anak-anak mangsa dari peringkat sekolah hingga ke peringkat universiti.
Hasrat ini disampaikan oleh Menteri Pertahanan waktu dia melawat keluarga mangsa untuk menyampaikan salam takziah kepada mereka.
Teruskan cita-cita
Dengan bantuan biasiswa penuh yang diberikan, Prabowo berharap yang bantuan tersebut dapat membolehkan anak-anak mangsa kru KRI Nanggala 402 untuk meneruskan cita-cita mereka.
“Pak Prabowo dengan sepenuhnya mendukung cita-cita anak-anak bangsa untuk meneruskan pengabdian cita-cita orang tua mereka.”
Penemuan yang mendukacitakan
Panglima TNI Marsekal Hadi Tjahjanto pada hari kelima pencarian kapal KRI Nanggala 402 mengumumkan pasukan mereka telah menemui beberapa bukti bahawa kapal selam tersebut telah tenggelam pada kedalaman 838 meter dan terbelah tiga.
Dengan penuh dukacita, panglima tersebut mengumumkan penemuan tersebut kepada orang ramai.
“Berdasarkan bukti-bukti kukuh yang dijumpai, dapat dinyatakan bahawa KRI Nanggala 402 telah tenggelam dan seluruh anak kapal telah gugur.”
Kita doakan semoga keluarga mangsa dapat menerima berita ni dengan hati yang kuat dan tabah dan semoga roh mangsa berada dalam golongan yang beriman. Amin….
Sumber: Liputan6