Semalam, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM6,000 ke atas seorang kerani wanita Sam Ke Ting, susulan kes kemalangan membabitkan basikal lajak serta meragut nyawa 8 remaja.
Hari ini, keluarga lapan remaja yang terkorban pada 2017 melahirkan rasa syukur dan lega apabila mangsa akhirnya mendapat keadilan yang sepatutnya. Kata mereka, tragedi itu sukar untuk dilupakan dan memberi kesan mendalam kepada kehidupan mereka sehingga menyebabkan mereka mengalami tekanan emosi.
Dalam laporan Astro AWANI, Sabariah Yusof, ibu kepada Mohamad Azhar Amir, yang merupakan salah seorang mangsa kemalangan itu berkata, dia membayangkan anaknya masih berada di rumah.
“Bangun pagi sahaja saya rasa hendak kejut dia pergi sekolah, terbayang dia masih ada. Katil dia selalu tidur juga saya tidak alih, masih ada.Rasa kecewa sebelum ini wanita terbabit terlepas, sebenarnya tidak tahu hari ini dia dijatuhkan hukuman, rasa bersyukur sangat (kematian) dapat pembelaan, tidak boleh diungkapkan perasaan. Bagaimanapun saya redha atas kejadian ini kerana ujian Allah,” katanya.
“Dia tidak boleh lihat basikal, cerita pasal kejadian itu atau lihat gambar pun tidak boleh, kalau ingat dia tidak boleh tidur. Lega (wanita itu) dijatuhkan hukuman, selagi hayat dikandung badan, selagi itu pakcik tidak dapat lupa peristiwa ini,” katanya.
Sebagai info, Sam yang berusia 22 tahun ketika kejadian, didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.