Malaysia telah mengisytiharkan komitmen untuk beralih daripada pendekatan pertahanan yang berasingan kepada strategi bersepadu yang lebih pragmatik dan kolektif bagi mengukuhkan keselamatan maritimnya.
Dalam Sidang Meja Bulat mengenai Laut China Selatan yang dianjurkan oleh Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) dan Bait Al Amanah baru-baru ini , Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa lautan di sekeliling negara bukan sekadar perairan, tetapi ia juga merupakan nadi kedaulatan, kemakmuran dan juga masa depan tanah air.
Menurut Khaled lagi, Malaysia mesti berani mengakui bahawa terdapat jurang dalam tadbir urus maritim negara kita. Walaupun pertahanan kekal menjadi teras , skop keselamatan laut telah berubah, menuntut perubahan strategi yang drastik.
Menteri Pertahanan menegaskan bahawa medan pertempuran hari ini telah berubah, dengan ancaman yang dihadapi bukan lagi bersifat satu dimensi sahaja. Selain ancaman tradisional seperti lanun, penyeludupan, dan pencerobohan, Malaysia kini berhadapan dengan ancaman hibrid yang merangkumi:
- Ancaman Digital dan Ekonomi: Serangan siber yang boleh melumpuhkan pelabuhan atau gangguan digital yang menjejaskan laluan kapal.
- Perisikan Asing: Kegiatan perisikan dan pengintipan yang menggugat pelantar minyak dan gas negara.
- Perang Kognitif: Pertikaian di Laut China Selatan kini turut dikesan dalam ruang siber, di mana pihak tertentu menguji prasarana digital kita.
WOGOS: Tanggungjawab Kolektif untuk Masa Depan
Bagi menghadapi kerumitan ini, sudah tiba masanya untuk satu pendekatan tadbir urus baharu bagi perairan negara. Menteri Pertahanan mencadangkan pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS) yang menyeluruh dan melibatkan semua pihak berkepentingan.
Keselamatan ruang laut bukanlah amanah eksklusif satu Kementerian atau satu agensi sahaja. Pelaksanaan WOGOS akan membolehkan koordinasi yang lebih baik, penyelarasan polisi, perkongsian risikan, dan penggunaan sumber yang cekap.
Pendekatan WOGOS memerlukan penyepaduan sektor-sektor berikut ke dalam strategi pertahanan:
- Kementerian Luar Negeri (mengukuhkan tuntutan maritim)
- Kementerian Dalam Negeri (keselamatan perairan domestik)
- Kementerian Pengangkutan (melindungi laluan perkapalan)
- Kementerian Pendidikan Tinggi (melahirkan bakat maritim bertaraf dunia)
- Komuniti Pesisir Pantai (sebagai pemelihara kawasan masing-masing)
- Sektor Swasta (pemacu inovasi) dan Universiti (wadah idea baharu)
Teras utama segala usaha ini adalah kepercayaan (Trust) antara kerajaan, rakyat, dan sektor swasta. Sebagai langkah pragmatik untuk menjadikan WOGOS dari retorik menjadi realiti , Kementerian Pertahanan berpandangan sudah tiba masanya untuk menubuhkan Majlis Maritim Negara.
Artikel berkaitan : Tengku Permaisuri Selangor Sempurnakan Pelancaran LCS Kedua TLDM ‘Raja Muda Nala’
Artikel berkaitan : Panglima Tentera Udara Ke-21 Gariskan Enam Tonggak Utama Untuk Masa Depan TUDM
Majlis ini akan berfungsi untuk mengemudi dan melaksanakan strategi WOGOS secara lebih terkoordinasi, sistematik, berimpak positif dan bersifat strategik.
Menteri Pertahanan mengakhiri ucapan dengan menegaskan bahawa pragmatisme Malaysia tidak boleh disalah anggap sebagai kepasifan. Dengan kesatuan dan ketegasan, Malaysia akan membuktikan bahawa ia mampu bertindak, bukan sekadar bercakap kosong, demi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara terpelihara untuk generasi akan datang.
Sumber : Mindef