Skuad bolasepak negara terlepas daripada berada dalam ‘kumpulan maut’ selepas diundi bersama Oman dan Krygystan dalam saingan Kumpulan D pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 yang dijadualkan bermula dari 16 November 2023 hingga 11 Jun 2024.
Majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil baru-baru ini, pasukan negara akan diiringi oleh pemenang aksi playoff antara Timor-Leste dan Taiwan yang akan berlangsung pada bulan Oktober.
Berdasarkan ranking dunia semasa, Oman menduduki tangga ke-73, Krygystan tangga ke-97, Malaysia (136), Taiwan (153) dan juga Timor-Leste di tangga ke-192 dengan kesemua pasukan dari kumpulan D tersebut tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia.
Walaupun undian ini disifatkan ‘tidak mudah’ oleh jurulatih negara, Kim Pan Gon, beliau mengharapkan anak buahnya mempamerkan aksi terbaik kerana menurut rekod terdahulu menentang Oman, kita tewas 0-6 pada tahun 2015.
Selain itu, perlawanan dengan Krygystan pada tahun 2018 juga mencatatkan kekalahan 0-1.
Namun, beliau berkata pasukan yang berada di Pot 1 dan 2 adalah pasukan yang kuat dan dia gembira dengan keputusan undian tersebut selain menyifatkan undian kali ini adalah peluang terbaik buat pasukan negara.
? Dengarkan komen ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon selepas majlis undian Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, hari ini.
Video penuh https://t.co/rRqxPhPPaf#FAM #HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/yjXL2BfBcA
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) July 27, 2023
Skuad yang mendapat jolokan Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon ini mencipta sejarah tahun lepas apabila menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023.
Sementara itu, juara Piala Asia empat kali Jepun diundi dalam kumpulan B bersama Syria, Korea Utara dan perlu menanti pemenang perlawanan playoff antara Myanmar dan Macau yang merupakan antara kumpulan ‘maut’ dalam saingan pusingan kedua berkenaan.
Selain itu, saingan di kumpulan G juga menjadi tumpuan apabila membariskan juara tiga kali Piala Asia, Arab Saudi, Jordan dan Tajikistan yang akan menanti pemenang playoff antara Kemboja dan Pakistan.
Mengikut format, hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan (18 pasukan) akan layak ke Piala Asia 2027 dan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2026.
Skuad Harimau Malaya akan bertemu Krygystan pada perlawanan pertama yang dijadualkan berlangsung pada 16 November 2023.
Apa-apa pun, kita doakan skuad negara akan mempamerkan aksi terbaik dan layak ke pusingan ke-3 yang menjanjikan 8 slot untuk ke saingan Piala Dunia 2026
Baca : “Jiwa raga untuk Malaysia” – Berjaya Layak Ke Piala Asia 2023, Netizen Puji Kim Pan Gon