Pernah tak anda makan makanan laut biasa bersama nasi namun caj makanannya mencekik darah sehingga sepinggan ia berharga RM32? Mungkin jikalau anda memesan makanan di sebuah restoran terkenal di hotel, ia sesuatu yang munasabah. Namun jika anda hanya makan di sebuah gerai biasa, ia sesuatu yang tidak logik!
Melalui perkongsian Syed Ikram di Facebook, dia telah memuatnaik gambar sepinggan nasi yang telah dicaj RM32 dan perbualan Syed Ikram bersama pemilik kedai itu yang menyatakan munasabah dari harga yang dicaj ke atas sepinggan nasi tersebut.
Menurut Syed Ikram, dia telah mengambil sepinggan nasi penuh, seekor udang, dua ekor sotong dan sayur kangkung. Semasa membuat bayaran, dia terkejut apabila mendapat tahu bahawa kesemuanya berharga RM32. Biar betul??
Macam ini saja RM32, belum lagi air. Terkejut bila nak bayar. Gerai biasa saja kot.”
Akibat tidak berpuas hati dengan harga yang perlu dibayar, Syed Ikram telah tularkan ia ke laman Facebook. Menyedari akan kisah itu semakin viral, pemilik gerai makanan laut tersebut telah menegur Syed Ikram di peti Messenger untuk menjelaskan harga bagi setiap satu lauk yang diambil pelanggan.
Salam bro. Harga udang RM15 seekor, sotong RM7 seketul. Awak ambil dua ketul. Sayur seringgit. Nasi penuh RM2. Harga kan sudah ada dekat senarai tu. Kenapa tak tengok dulu?”
Namun Syed Ikram tidak cepat melatah dan menyatakan bahawa dia tidak sangka gerai sebiasa itu tergamak caj pelanggan dengan harga yang agak tinggi.
Cuma tak nak orang lain terkena je. Terbayangkan kalaulah orang yang makan tu susah, apalah perasaan dia orang kan?”
Pun begitu, pemilik gerai tersebut merasa Syed Ikram seperti sudah merosakkan nama kedainya. Malah dia juga menyuruh Syed Ikram mencongak sendiri bayaran yang perlu dibayar dengan memberi kos asal lauk yang dibeli di pasar.
Awak dah rosakkan nama kedai saya. Awak tahu sotong 1 kg RM27 ada tiga ekor saja? Udang 1 kg RM65 dan ada lapan ekor 1 kg.”
Awak kiralah. Sotong ada tiga ekor 1 kg. Saya potong seekor dua. Awak boleh kira sendiri.”
Walau bagaimanapun, Syed Ikram membalas yang dia juga tahu hal selok belok pasar kerana dia seorang bapa tunggal dan pernah turun ke pasar untuk membeli barangan basah. Malah menurutnya, inilah pertama kali dalam sejarah hidupnya makan di gerai tepi jalan semahal ini.
Walaupun saya lelaki, saya juga ke pasar sebab saya seorang bapa tunggal. Kerja perempuan semua saya buat untuk membesarkan anak.”
Saya tak kisah tapi cuma terbayangkan orang yang susah datang ke kedai awak. Macam mana kalau mereka tak mampu bayar. Adakah mereka kena cuci pinggan?”
Oleh kerana tidak mahu memanjangkan cerita, pekedai tersebut terus meminta nombor akaun bank Syed Ikram untuk mengembalikan semula wangnya.
Saya halalkan apa yang awak makan dan saya takkan halalkan apa yang awak viralkan.”
Sungguhpun begitu, Syed Ikram tidak mahu menerima wang yang ingin dikembalikan dan cuma berharap pemilik kedai tersebut berniaga dengan ikhlas supaya dapat bertahan lebih lama dalam dunia perniagaan ini.
Saya juga orang bisnes tapi saya selalu letakkan diri saya di tempat pelanggan supaya saya dapat merasakan apa yang dirasa pelanggan.”
Rata-rata pengguna Facebook bersetuju dengan apa yang ditularkan Syed Ikram dan berpendapat pekedai tersebut tidak patut meletakkan harga yang sedemikian kepada pelanggan.
Seorang makan RM32? Memang kaya cepatlah taukey dia.”
Udang besar macam tu sekilo ada lapan ekor? Kalau nak menipu pun agak-agaklah. Udang besar gedabak dekat Manhattan Fish Market pun RM43!”
Beragak-agaklah dalam meletakkan harga untuk makanan yang disediakan. Sekarang zaman tular, bila ada yang tidak berpuas hati mereka akan viralkan ia di media sosial. Kan gerai dah terpalit dengan nama buruk…