Setiap bandar di dunia ini pasti ada mercu tanda ikonik yang menggambarkan kemegahan dan keunikan mereka yang tersendiri. Contohnya, Kuala Lumpur mempunyai KLCC dan Singapura mempunyai Marina Bay Sands.
Turut tidak terkecuali, Shenzhen di China turut bakal mempunyai mercu tanda ikonik setinggi 268 meter dari paras laut yang pastinya membuatkan anda teruja dengan keunikannya. Shenzen dilaporkan bakal membina sebuah ‘pulau terapung’ sebagai tarikan baharu di situ.
Menara ‘terapung’ ini direka oleh Sou Fujimoto Architects sempena pertandingan rekaan Pusat Bandar Baru Qianhai. Pertandingan ini berasaskan undangan untuk pembangunan monumen baharu di Teluk Qianhai, Shenzen.
Jadi, bagaimana bangunan ini boleh kelihatan terapung di udara? Menurut pereka asal, terdapat teras pusat yang besar menyokong bangunan ini, sementara kabel sokongan akan memindahkan sisa beban yang ada.
Dari jauh, bangunan ini akan kelihatan seperti sebuah pulau terapung yang wujud di dalam filem sains fiksyen. Di ruang atas bangunan ini, terdapat restoran, ruangan pejalan kaki untuk pengunjung dan pusat pameran.
Difahamkan, pengunjung juga berpeluang untuk menikmati tarikan lain seperti air terjun daripada ruangan bawah bangunan.
Kredit: My Modern Met
BACA: Digelar Kondominium Tercantik Di Dunia, Ini Kisah ‘The Interlace’ Di Singapura