Projek pembinaan Lapangan Terbang Tioman mendapat kecaman serta bantahan yang banyak daripada orang ramai termasuk penduduk di situ.
Rancangan pembinaan di Pulau Tioman itu melihat 76 peratus tapak projek, atau 65.77 hektar, akan melibatkan tanah tambak.
Bagaimanapun, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad baru sahaja mengumumkan kerajaan akan menghentikan projek itu serta-merta.
Dalam laporan MalaysiaKini, keputusan itu dipersetujui selari dengan misi kementerian yang mengutamakan pemeliharaan, pemuliharaan serta penggunaan sumber asli dan alam sekitar secara bertanggungjawab.
Jemaah Menteri secara dasarnya telah bersetuju untuk tidak meneruskan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman baru yang libatkan tambakan kawasan perlindungan marin & terumbu karang.
Sebahagian besar Tioman juga Rizab Hidupan Liar. pic.twitter.com/KOTGVev9Lf
— 🇲🇾 Nik Nazmi (@niknazmi) August 9, 2023
Menurut Nik Nazmi, 1,412 maklum balas awam telah diterima berhubung laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek itu bermula 21 Jun hingga 21 Julai lalu.
“Walaupun hasrat pembinaan lapangan terbang baru adalah untuk menarik lebih ramai pelancong, pembinaan lapangan terbang baru tersebut akan merosakkan tarikan semula jadi Pulau Tioman yang akan membawa kepada pelancongan yang tidak mampan,” katanya.
Menerusi kenyataan yang sama, beliau memberitahu Pulau Tioman merupakan kawasan perlindungan marin selain menjadi tempat hutan hujan asli serta rizab hidupan liar.
Selain itu, beliau turut berkata perkara ini secara tidak langsung mencerminkan usaha kerajaan dalam mengimbangi kepesatan pembangunan dengan kelestarian alam.
Sebagai info, projek pembinaan lapangan terbang baru itu mula disuarakan sejak akhir 2000-an, ia dicadangkan oleh sebuah usaha sama antara Tioman Hill Resort Sdn Bhd milik Berjaya Group dan sebuah syarikat lain.
Baca: Ramai Penduduk Tak Setuju Cadangan Pembinaan Lapangan Terbang Di Tioman, Ini Sebabnya….