Perasaan kecewa dan dendam terhadap bekas kekasih dipercayai menjadi punca seorang lelaki menghasilkan bahan letupan buatan sendiri (IED) yang meletup di kawasan Desa Palma, Nilai bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia 62 tahun itu dikatakan sering meluahkan rasa marah dan kekecewaan terhadap bekas teman wanitanya kepada seorang jiran, selepas hubungan mereka berakhir kira-kira lima tahun lalu.
Menurut Johari, siasatan terhadap suspek masih diteruskan, namun terdapat kekangan berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan kerana masih menerima rawatan.
“Bagaimanapun, soal siasat masih diteruskan, namun agak terhad memandangkan keadaan kesihatan suspek yang tidak mengizinkan dan masih dirawat. Setakat ini 24 saksi telah dirakam keterangan,” katanya.
Artikel berkaitan: Penduduk Terjejas Letupan Gas Putra Heights Tuntut Keadilan, Lantik Tommy Thomas Sebagai Peguam Utama
Artikel berkaitan: Letupan Paip Gas Putra Heights: Polis Sahkan Tiada Kesan Gangguan Fizikal Pada Paip

Sebelum ini, lelaki terbabit disambung reman selama tujuh hari bermula esok selepas tempoh reman terdahulu tamat hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad sebelum ini memaklumkan suspek ditahan di sekitar Batang Benar, Nilai pada jam 4.15 petang, 27 Disember lalu, dengan kesan melecur pada muka, badan, tangan dan kaki.
Beliau turut mendedahkan bahawa suspek dipercayai memiliki pengetahuan teknikal serta kemahiran khusus berkaitan pembuatan bahan letupan, berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.
Kes letupan yang berlaku pada pagi 22 Disember itu kini terus disiasat pihak berkuasa bagi mengenal pasti motif sebenar serta memastikan tiada ancaman lanjut kepada keselamatan awam.
