Siapa yang tak mahu cantik atau kacak bukan? Malah kebanyakan dari kita menjadikan selebriti di dalam dan luar negara sebagai idola kerana tertawan akan kejelitaan serta kekacakan wajah mereka.
Tapi kalau anda punya kesempatan, mahukah anda menukar wajah menjadi mereka yang anda gila-gilakan itu?
Bagi Amirul Rizwan Musa atau lebih mesra dikenali sebagai Miyyo Rizone, 21, impiannya sudah tercapai setelah berhabis hampir RM200,000 hanya untuk memiliki wajah laksana watak animasi Final Fantasy, Squall Leonheart, lapor Harian Metro.
Miyyo mula tergerak hati untuk melakukan pembedahan ke atas wajahnya selepas dia diserang demam campak ketika berusia 16 tahun. Kulit wajahnya berubah menjadi buruk dan sejak dari itu dia mula hilang keyakinan diri.
Disebabkan malu akan keadaan wajahnya dan terlalu obses akan karekter animasi Final Fantasy, Miyyo akhirnya memutuskan untuk melakukan pembedahan plastik untuk menaikkan semula keyakinan diri.
Dia yang menjalani pembedahan secara berperingkat-peringkat semenjak tahun 2014 itu mula mendapat perhatian selepas gambarnya tular di media sosial dua minggu lepas.
Semenjak dari itu, Miyyo telah mendapat pelbagai kecaman dari orang ramai mengutuk tindakannya mengubah wajah dari rupa bentuk asal.
“Saya tidak sangka gambar wajah saya menjadi tular sehingga menerima panggilan dan mesej tidak henti-henti daripada orang ramai hanya untuk mengutuk saya,” luah Miyyo.
Malah lebih menyedihkan ada di antara individu yang datang bertemu Miyyo secara berdepan hanya dengan tujuan untuk memaki hamunnya. Agak-agaklah nak kutuk orang sampai macam tu…
Walau bagaimanapun, anak bongsu kepada lapan adik beradik ini bersyukur kerana masih ada segelintir masyarakat yang memberi sokongan dan tawaran kepadanya. Malah dia juga sudah mendapat tawaran untuk berlakon drama dan menjadi duta kepada beberapa syarikat. Haa korang yang kutuk-kutuk tu dapat apa??
Namun buat masa ini Miyyo masih mempertimbangkan tawaran tersebut kerana dia mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaan produk kecantikan jenamanya sendiri.
Bahkan menurutnya, kecaman yang diterima dari masyarakat tidak akan mematahkan semangat untuk dia terus berusaha memajukan perniagaan.
Bagaimana cantik atau buruk wajah seseorang itu tidak penting, kan? Yang paling utama, hati. Busuk hati seseorang itu, buruklah juga rupanya. Tak gitu??
Baca: Lelaki Transeksual Luah Rasa Sedih Diberi Layanan Buruk Oleh Doktor di Klinik Mediviron