Seorang lelaki sanggup kembali ke sebuah pulau demi menyelamatkan seekor kucing tempang yang dipercayai ditinggalkan bersendirian di lokasi berkenaan.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Frugal Outdoors & Camping, lelaki itu memaklumkan bahawa ini merupakan kali keduanya ke pulau tersebut selepas menemui kucing berkenaan pada kunjungan pertamanya.
Bimbang dengan keadaan si bulus yang kurus dan kelaparan, dia memuat naik video meminta bantuan orang ramai.
“Kucing kat tengah pulau… takda orang. Ada orang boleh tolong hantar darat ke? Naik kayak dia tak lompat, takut kot,” tulisnya dalam ruangan kapsyen.
Difahamkan, kucing yang kemudian diberi nama Talang itu mempunyai kaki kudung, menjadikannya sukar bergerak jauh dan mustahil untuk berenang meninggalkan pulau tersebut.
Selepas dua hari menunggu tanpa sebarang bantuan, lelaki berkenaan akhirnya nekad kembali ke Pulau Talang menggunakan bot sendiri untuk menyelamatkan kucing itu.

Artikel berkaitan: Bekas Suami Kena Bayar RM1.3K Untuk Nafkah 2 Ekor Kucing
Artikel berkaitan: Shopping Barang Bulus + Tengok Pertandingan Kucing Antarabangsa? Semua Ada Kat Ekspo Kucing 2025!
Dalam video sambungan, dia dilihat mengayuh kayak sambil membawa sangkar kucing dan barang-barang berkhemah sebelum berjaya menghampiri Talang.
Setelah memberi makan dan minum, dia akhirnya membawa pulang kucing itu menaiki bot.
Perkongsian tersebut mencuri perhatian ramai dan dihujani kata-kata semangat serta doa daripada warganet.
“Bang… aku cuma mampu doakan semoga kau sekeluarga sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT. Terima kasih jadi orang baik. Kalau perlukan sumbangan untuk kos rawatan dia, ko tepek QR sini bang,” kata pengguna Facebook Adam Don.
“Semoga awak diberkati dunia akhirat, diberi kesihatan yang baik dan dilimpahi rezeki. Semoga Talang bahagia dan sihat bersama awak,” ujar seorang lagi pengguna.
Tindakan lelaki berhati mulia itu benar-benar menyentuh hati rakyat Malaysia.
Setakat ini, video tersebut telah meraih lebih 14,900 tanda suka dan hampir 2,000 komen di Facebook.
