Kerajaan dilaporkan sedang memperhalusi cadangan untuk memberikan kebenaran merentas negeri kepada individu yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 bagi berjumpa dengan pasangan serta keluarga mereka.
Menurut Berita Harian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau mendapati ramai yang menyuarakan keluhan termasuklah pasangan jarak jauh serta ibu bapa yang terpisah dengan anak-anak berikutan larangan rentas negeri.
Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.”
Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama, terutama jika ibu bapa itu sudah pun menerima dua dos vaksin.”
Justeru, saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.”
Semalam beliau memaklumkan kajian bagi memberikan kelonggaran kepada individu yang lengkap suntikan imunisasi Covid-19 itu akan dibuat bersandarkan beberapa faktor.
Ia merangkumi model pelaksanaan yang digunakan negara jiran dan fakta sains, selain kebimbangan diutarakan pelbagai pakar kesihatan. Sebarang keputusan dimuktamadkan Jawatankuasa Teknikal MKN berhubung perkara itu akan dibuat secara menyeluruh untuk mengelak risiko penularan jangkitan di masa akan datang.
Baca: “Kelonggaran bagi individu lengkap 2 dos vaksin akan diumum selepas Aidiladha”- TPM