Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung operasi Network School di Forest City, Johor susulan kebimbangan orang ramai mengenai dakwaan penglibatan warga Israel yang menyertai program itu menggunakan pasport negara kedua.
Dalam satu kenyataan hari ini, KDN memaklumkan pihaknya memandang serius sebarang isu yang melibatkan keselamatan negara, pematuhan undang-undang imigresen serta kemungkinan penyalahgunaan kemudahan imigresen Malaysia.
Menurut kementerian itu, siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh menerusi kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa agensi berkaitan.
Pihaknya akan menyiasat secara menyeluruh menerusi semakan identiti dan kewarganegaraan individu terlibat, status dan kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan, jenis pas atau kemudahan imigresen serta tujuan kemasukan ke Malaysia.
Siasatan itu juga merangkumi semakan terhadap pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang imigresen serta peruntukan undang-undang lain yang berkaitan.
Artikel berkaitan: “Macam bandar hantu”- Ikuti Pengalaman Wanita Ini Tinggal Di Forest City, Johor Selama 3 Malam
Artikel berkaitan: Puji Keindahan Budaya & Alam, Nas Daily Kongsi Video Melawat Malaysia

Menurut KDN, sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau sebarang kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara, tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan membenarkan mana-mana pihak menjadikan Johor sebagai tapak untuk membawa ideologi atau gerakan yang bercanggah dengan undang-undang, kedaulatan serta kepentingan negeri dan negara.
Menurut sumber, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman persendirian dan ruang bekerja bersama berasaskan teknologi yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.
View on Threads
Sumber: Sinar Harian
