in

Kenali Zohran Mamdani, Datuk Bandar Muslim Pertama Di New York

Featured LM 2

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Kini dengan rasminya, New York mencatat sejarah baru bila seorang Muslim dilantik sebagai Datuk Bandar. Sejak semalam, nama Zohran Mamdani kian menjadi bualan ramai ekoran beliau muncul sebagai Datuk Bandar New York yang menerajui antara bandar yang paling berpengaruh di Amerika Syarikat.

Sebenarnya pelantikan Zohran Mamdani sebagai Datuk Bandar New York bukanlah perkara yang terlalu mengejutkan bagi rakyat Amerika Syarikat kerana namanya sudah lama disebut-sebut sebagai calon pilihan selepas kejayaannya dalam pemilihan Parti Demokrat beberapa bulan lalu.


Namun begitu, kejayaannya kali ini tetap dianggap bersejarah kerana beliau mencatat nama sebagai Muslim pertama yang menyandang jawatan tersebut dalam sejarah bandar itu.

Bagi yang baru ingin mengenali sosok ini, perjalanan beliau untuk ke tahap ini sangat penuh dengan perjuangan, prinsip dan dedikasi terhadap masyarakat. Berikut adalah serba sedikit kisah perjalanan beliau serta visi yang dibawanya untuk masa depan New York.

Latar belakang Zohran Mamdani 

zohran mamdani new yorker

Beliau asalnya dilahirkan di Kampala, Uganda, namun dibesarkan di New York sejak usianya tujuh tahun. Ibunya, Mira Nair, merupakan seorang pengarah filem terkenal, manakala bapanya, Mahmood Mamdani, merupakan profesor di Universiti Columbia, menjadikan dirinya membesar dalam keluarga yang tidak asing dengan dunia intelektual dan seni.

Dengan latar identiti yang pelbagai iaitu India, Afrika dan Amerika, beliau pernah menerima kritikan ketika mengisi borang universiti dengan menandakan dirinya sebagai ‘Asia’ dan ‘Afrika-Amerika’ sekali gus. Bagi dirinya, itu bukan satu cubaan untuk mengambil kesempatan, sebaliknya cara untuk menggambarkan keseluruhan identiti dirinya dalam ruang pilihan yang terhad.

Sejak zaman sekolah menengahnya di Bronx High School of Science, Zohran Mamdani sudah menunjukkan semangat kepimpinan apabila menubuhkan pasukan kriket pertama sekolah itu. Ketika melanjutkan pelajaran di Bowdoin College, beliau menubuhkan Students for Justice in Palestine, menjadikan beliau terkenal kerana keberaniannya dalam menyuarakan isu global sejak zaman belajarnya.

Merupakan bekas penyanyi rap

mamdani rapper

Sebelum nama beliau naik ke dalam dunia politik New York, beliau sebenarnya pernah aktif sebagai penyanyi rap yang dikenali sebagai Young Cardamom dan kemudian Mr. Cardamom. 

Antara lagu terkenalnya termasuklah ‘Nani’ iaitu lagu tribute untuk neneknya yang viral semula apabila karier politiknya mula naik. Beliau juga pernah berduet dengan rakan baiknya iaitu, rapper HAB dalam lagu ‘Kanda’, iaitu sebuah lagu yang meraikan budaya Uganda. Album mereka yang bertajuk ‘Sidda Mukyaalo’ ini banyak menyentuh isu sosial dan identiti, menandakan betapa kuatnya sisi politik dalam diri Zohran Mamdani ini.

Mula memperjuangkan hak rakyat 

@zohran_k_mamdani“Without the night shift, there is no morning.” Late Thursday night, I canvassed the taxi line at LaGuardia — and caught up with some old friends.♬ original sound – Zohran Mamdani

Kemudian, Zohran Mamdani bekerja sebagai kaunselor perumahan di mana beliau membantu keluarga yang berpendapatan rendah di Queens daripada kehilangan tempat tinggal. Dari situlah beliau mula melihat sendiri realiti keras kehidupan di bandar besar bila kadar sewa melambung, jurang kekayaan semakin jelas dan kesusahan rakyat biasa kian berterusan.

Dorongan itulah yang membawa beliau ke Dewan Negeri New York pada tahun 2020 dengan mewakili daerah yang ke-36. Kemenangannya ketika itu saja sudah cukup bersejarah kerana beliau merupakan lelaki Asia Selatan pertama, rakyat Uganda pertama dan antara tiga orang Muslim pertama yang pernah berkhidmat dalam badan perundangan tersebut.

Sebagai ahli politik muda berhaluan kiri, beliau dikenali dengan pendekatan progresifnya dan cara beliau mendekati rakyat bukan sekadar melalui ucapan di majlis rasmi, tapi juga di media sosial.

Beliau sering menghasilkan video dengan gaya penyampaian yang dekat dengan generasi muda, contohnya video beliau menyertai marathon sambil menjelaskan tentang harga rumah sewa di bandar tersebut.

Kemudian, beliau juga pernah dilihat turun ke padang dan berinteraksi langsung dengan pekerja sosial seperti pemandu teksi untuk memahami pengalaman dan cabaran mereka sepanjang tinggal di bandar tersebut. Beliau berpendapat bahawa pemandu teksi yang kebanyakannya bukan warga tempatan ini adalah cerminan sebenar wajah kota tersebut, sama seperti dirinya yang mempunyai latar belakang sebagai orang Asia juga.

Jadi bila pendekatannya yang asli dan ikhlas ini dapat dirasai oleh penduduk di New York, beliau dapat menarik perhatian ribuan pengundi muda dan orang yang kulit berwarna. Ramai menyifatkan beliau sebagai nafas baharu dalam politik Amerika dan kempen beliau sering digelar sebagai blueprint kerana pendekatannya yang menerusi dunia digital.

Visinya untuk New York 

mamdani vision

Sebagai Datuk Bandar, Zohran Mamdani membawa visi yang jelas iaitu menjadikan bandar tersebut sebagai bandar yang lebih adil dan mampu untuk dihuni. Fokus utamanya adalah untuk menangani kos sara hidup yang melampau, khususnya isu harga rumah sewa.

Antara cadangan utamanya ialah membekukan kadar sewa selama empat tahun bagi rumah-rumah yang dikawal harga, menaikkan gaji minimum iaitu daripada 16.50USD kepada 30USD sejam menjelang 2030 serta menambah cukai korporat ke atas syarikat besar daripada 7.25% kepada 11.5%.

Selain itu, beliau mahu memperkenalkan penjagaan kanak-kanak universal, menjadikan bas awam percuma dan memperluaskan kedai runcit milik bandar bagi mengurangkan kos barangan asas. Bagi beliau, kehidupan di bandar tidak sepatutnya ‘membiasakan perkara yang menyusahkan’.

Beliau juga berani menyuarakan isu Palestin dengan menyatakan bahawa beliau percaya Israel sedang melakukan genosid di Gaza dan menganggap negara itu sebagai sebuah negara apartheid meskipun negara itu tidak mengakui tindakannya.

Beliau pernah beberapa kali disoal oleh pihak media sama ada beliau menyokong hak Israel untuk wujud sebagai sebuah negara Yahudi.

“Saya tak sokong mana-mana negara yang menilai kewarganegaraan berdasarkan agama. Prinsip kesamarataan sepatutnya wujud di setiap negara,” balasnya kepada pihak media tersebut.

Walaupun Zohran Mamdani masih muda dalam dunia politik, suaranya sudah membawa makna besar dalam mengubah persepsi ramai mengenai keadilan dan kesamarataan. Dalam dunia yang semakin terbahagi oleh idea politik, kehadirannya menjadi peringatan bahawa keberanian dalam bersuara masih mampu untuk mengubah naratif dan nasib sesebuah negara tersebut.

Sumber: BBC, The Guardian, Rolling Stone

Sumber: Monocle

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.