Kalau dah namanya cikgu dan berjiwa pendidik, memang mereka takkan pernah jemu untuk sampaikan ilmu tak kira di mana atau dalam keadaan macam mana.
Baru-baru ni, satu posting di Facebook viral mengisahkan tentang seorang cikgu yang gigih untuk sampaikan ilmu ‘last minute’ kepada pelajarnya walaupun dalam keadaan terlantar sakit di hospital.

Mohd Zakuan bin Yusof, 49, merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Chenor, Pahang dan mengajar subjek Ekonomi dan Perniagaan. Namun, Cikgu Zakuan diuji apabila dia jatuh sakit serta disyaki mempunyai masalah di bahagian saraf tunjangnya dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah.

Sebagai seorang pendidik, dah tentu Cikgu Zakuan berasa sedih sebab diuji sebegitu ketika anak murid perlukan dia untuk persiapkan diri bagi menduduki SPM baru-baru ini.
Gambar yang viral di internet tu menunjukkan ramai pelajar mengelilingi Cikgu Zakuan yang tengah mengajar sambil terbaring di katil hospital. Pada masa yang sama, kesemua anak muridnya tu mencatit nota penting tentang apa yang disampaikan.

Pelajar tu semua difahamkan adalah dari dua kelas yang diajarnya di sekolah tersebut. Mereka bergilir-gilir datang ke hospital demi untuk mendapatkan ilmu di saat-saat akhir sebelum SPM bermula.
Pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan Cikgu Zakuan dipuji ramai kerana masih gigih menyampaikan ilmu walaupun dalam keadaan terbaring. Ramai netizen yang terinspirasi dan memuji tindakan mulia patut dicontohi semua orang.
Moga Cikgu Zakuan sembuh seperti sedia kala dan anak muridnya berjaya!
Baca: Guru Ini Dipuji Ramai Selepas Jaga Murid Tahun 1 yang Terbuang Air Besar Dalam Seluar