in

Jangan Ambil Remeh, Ini 5 Penyakit Bawaan Air Ketika Musim Banjir

Featured LM 32

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Musim banjir yang tiba setiap hujung tahun memang akan selalu menjadi cabaran buat kita terutamanya dari segi keselamatan dan juga kesihatan.

Hujan yang berterusan memang tidak dapat dinafikan akan menyebabkan berlakunya banjir dan kemudian kawasan yang tercemar boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai masalah kesihatan sekiranya kita tidak berhati-hati.


Bila berlakunya banjir serta terdedah dengan persekitaran yang kotor ni, risiko untuk dijangkiti penyakit juga akan meningkat. Kadang-kadang kita mungkin rasa macam keadaan sedang terkawal, seolah-olah tak ada perkara yang membahayakan pun. Namun hakikatnya, banyak ancaman kesihatan tak boleh dilihat dengan mata kasar.

Jadi kalau nak tahu penyakit apa yang boleh berlaku semasa berlakunya banjir, boleh teruskan baca artikel di bawah ini.

Kencing tikus (Leptospirosis)

kencinggg tikus

Penyakit kencing tikus atau juga dikenali sebagai Leptospirosis ini adalah salah satu penyakit yang boleh tersebar daripada air yang tercemar dengan nama bakteria Leptospira dan biasanya ia didapati daripada air kencing haiwan seperti tikus, lembu atau kerbau.

Jangkitan penyakit ini boleh masuk melalui luka kecil pada kulit apabila kulit direndam lama dalam air banjir atau melalui mata dan mulut.

Simptom awal biasanya merangkumi demam, menggigil, sakit kepala, sakit otot serta mata merah dan berair. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh menjadi lebih serius sehingga menyebabkan kerosakan organ seperti hati dan buah pinggang, malah boleh membawa maut bagi kes yang serius.

Jadi bagi untuk mengelakkan komplikasi, biasanya rawatan akan melibatkan antibiotik yang diberi seawal mungkin. Andai kata kalau kita diperlukan untuk merentas air banjir, kita juga sangat disarankan untuk memakai kasut getah demi mengelakkan risiko jangkitan penyakit ini.

Demam denggi 

demam denggi

Demam denggi adalah disebabkan oleh jangkitan virus daripada nyamuk Aedes aegypti. Bila musim hujan, nyamuk lagi senang nak membiak sebab air bertakung di pelbagai tempat.

Nyamuk yang banyak akan meningkatkan risiko orang digigit, seterusnya boleh menyebabkan jangkitan virus. Pesakit yang dijangkiti mengalami simptom seperti hilang selera makan, muntah, sakit otot, kulit kemerahan dan bintik-bintik darah pada kulit.

Selain denggi, nyamuk Aedes juga boleh membawa demam chikungunya yang simptom utamanya ialah demam, sakit sendi teruk dan kadang-kadang boleh berlarutan lebih lama.

Hepatitis A

hepatitis A

Keradangan pada hati boleh berlaku apabila seseorang dijangkiti virus Hepatitis A. Virus ini biasanya tersebar melalui makanan atau minimum yang selalunya tidak bersih atau tidak dimasak.

Bila virus mula masuk badan, ia boleh menyebabkan hati berfungsi secara tidak normal dan seterusnya pesakit boleh alami simptom seperti demam ringan, hilang selera makan, sakit perut dan mata kuning.

Penyebaran penyakit ini berlaku apabila seseorang mengambil makanan yang terdedah dan dah dihinggapi oleh lalat, menggunakan air atau sistem kumbahan yang tidak bersih atau tidak mengamalkan kebersihan tangan dengan sempurna.

Oleh itu, langkah pencegahan sangatlah penting untuk kita semua terutamanya di musim banjir. Pastikan buah-buahan dan ulaman dicuci bersih sebelum dimakan, gunakan air minuman yang selamat dan pastikan sistem kumbahan berada dalam keadaan teratur.

Selain itu, kita juga amat digalakkan untuk mengamalkan membasuh tangan dengan kerap selepas menggunakan tandas dan sebelum makan di samping memastikan makanan dimasak dengan sempurna serta ditutup bagi elakkan lalat untuk hinggap pada makanan serta elakkan berkongsi gelas atau peralatan makan dengan orang lain.

Demam kepialu 

demam kepialu

Demam kepialu adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria Salmonella Typhi yang biasanya terdapat dalam makanan atau air yang tercemar.

Bila bakteria tercemar ini mula memasuki badan, ia boleh serang sistem penghadaman dan menyebabkan simptom seperti sakit kepala, kehilangan selera makan, demam tinggi dan cirit birit.

Untuk mengurangkan risiko, pengendali makanan disarankan untuk memastikan premis sentiasa bersih, mencuci bahan mentah dengan air bersih, memasak makanan sehingga betul-betul makan serta menyimpan makanan dalam bekas yang bertutup.

Sebab andai kata kalau kita ambil makanan atau air yang tidak bersih terutamanya makanan jalanan, risiko untuk dijangkiti boleh meningkat dengan cepat.

Oleh itu, pastikan juga makanan yang dimasak benar-benar dimasak dengan sempurna sebelum dimakan. Dengan langkah mudah ini, risiko dijangkiti penyakit berjangkit dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.

Kolera 

kolera

Penyakit kolera pula disebabkan oleh bakteri Vibrio cholero yang biasanya tersebar melalui air minuman atau makanan yang tercemar. Lalat juga boleh menjadi kepada pembawa bakteria ini, menjadikan risiko jangkitan boleh berlaku lebih tinggi jika kebersihan diabaikan.

Pesakit yang berdepan dengan jangkitan ini akan mengalami simptom seperti sakit perut, muntah dan dehidrasi yang teruk.

Selain itu, kolera boleh merebak dengan cepat di kawasan yang tercemar atau mempunyai sistem sanitasi yang lemah. Tanda awal dehidrasi perlu dikenali dengan segera sebab kehilangan cecair dalam badan yang banyak boleh mengancam nyawa dalam masa beberapa jam.

Oleh itu, pencegahan melalui kebersihan air, makanan dan tangan adalah langkah yang paling berkesan untuk melindungi diri dan keluarga terutamanya semasa musim banjir.

Kesimpulannya, musim banjir bukan sahaja boleh memberi kesan fizikal dalam kehidupan seharian kita, tetapi juga boleh meningkatkan risiko kepada pelbagai jenis penyakit yang boleh tersebar melalui air dan persekitaran yang tercemar.

Dengan menjaga kebersihan diri, memastikan makanan dan minuman adalah bekalan yang selamat serta mengamalkan langkah berjaga-jaga ketika merentas banjir, kita boleh melindungi diri dan keluarga daripada dijngakiti penyakit yang berbahaya.

Oleh itu, kita dinasihati untuk sentiasa peka dan berwaspada semasa musim banjir agar keselamatan dan kesihatan tetap terjaga. Jangan abaikan risiko walaupun nampak macam keadaan terkawal dan pencegahan dari awal adalah langkah yang terbaik.

Sumber: MKN

Sumber: MKN
Sumber: Info Sihat
Sumber: Glove Clinic
Sumber: MKN
Sumber: Info Sihat

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.