in

JAKIM Tegaskan Tiada Kaitan Dengan Platform ‘Halal Inquiry Company Direktori’

Syaz Ft 2026 08 11T110923.397

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa pihak mereka tidak mempunyai sebarang hubungan atau kaitan rasmi dengan platform media sosial Halal Inquiry Company Direktori (HICD) yang tular membuat perkongsian berkenaan isu halal membabitkan sebuah syarikat baru-baru ini.

Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee menjelaskan, HICD tidak pernah dilantik, diiktiraf mahupun diberi kuasa oleh JAKIM dalam apa-apa kapasiti berkaitan Pensijilan Halal Malaysia.


Artikel berkaitan: “Salah tetap salah” – Alif Teega Tampil Mohon Maaf, Mengaku Dah Jumpa JAKIM & Mufti Wilayah

Artikel berkaitan: Jakim & JAIN Tidak Pernah Lantik Majlis Ulama R*hingnya Urus Pernikahan

Sehubungan itu, sebarang kenyataan, pandangan, ulasan, semakan, mahupun kesimpulan yang disiarkan oleh platform tersebut adalah atas kapasiti persendirian dan langsung tidak mewakili pendirian atau keputusan rasmi JAKIM.

“JAKIM berpandangan bahawa usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan halal hendaklah sentiasa berasaskan fakta, dibuat secara bertanggungjawab dan tidak menimbulkan kekeliruan, prasangka atau generalisasi terhadap mana-mana individu, kaum atau komuniti,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas lanjut, beliau turut mengingatkan bahawa perbezaan budaya, bahasa, dan latar belakang masyarakat merupakan asas keharmonian di Malaysia, lantas penyampaian berkaitan isu halal perlu dilakukan dengan penuh hikmah dan berhemah.

Orang ramai juga diseru agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk terus kepada Portal Rasmi Halal Malaysia atau saluran rasmi JAKIM untuk sebarang pengesahan status Pensijilan Halal Malaysia.

JAKIM kekal komited untuk memastikan kefahaman masyarakat mengenai isu halal disampaikan secara tepat, berautoriti, dan berlandaskan fakta yang sahih demi kemaslahatan ummah.

Sumber: Facebook

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.