Penyanyi dangdut, Baby Shima menyatakan hasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini hanyalah sekadar gurauan.
Dia baru-baru ini ada memuat naik video di akaun Instagramnya menyatakan hasrat mahu bertanding sebagai calon Bebas dalam PRN.
Namun menerusi video susulan bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ, dia berkata tidak jadi bertanding apabila KJ menjawab penyanyi dangdut itu sesuai bertanding di Kelantan.
View this post on Instagram
Tak sangka orang ambil serius
Menurut Shima, dia tidak menyangka gurauan ingin bertanding dalam PRN dianggap serius sesetengah pihak, lapor Kosmo!
Katanya, ayat dalam video dikongsi semalam adalah ucapan lama bekas Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang diulang semula.
Jelasnya, video yang dikongsikan itu adalah susulan pertemuannya dengan KJ di Istana Budaya tempoh hari ketika berbual mengenai demam PRN.
“Saya rekodkan pertemuan kami itu terutama berkenaan pendapatnya kawasan mana saya sesuai bertanding andai mahu jadi calon dan video tersebut baru saya kongsikan tadi.
“Tapi memang saya takkan bertanding, itu sekadar gurauan yang saya tak jangka dianggap serius,” katanya.
Justeru, Shima berharap tiada pihak salah sangka dengan hantaran tersebut kerana hakikatnya dia tidak berminat langsung untuk terjun ke dunia politik.
Terdahulu, pengumuman video akan bertanding dalam PRN atas misi mahu membela nasib rakyat itu tular sehingga menjadi bualan netizen.
Baca: “Mahu bela nasib rakyat” – Baby Shima Bakal Bertanding Di PRN?