Walaupun bukan selebriti, tetapi aktivis masyarakat yang dikenali sebagai Uncle Kentang ini terkenal dengan sikapnya yang suka membantu orang yang kurang berkemampuan.
Juga dikenali sebagai Kuan Chee Heng, aktivis ini berniat untuk berganding bahu dengan Ustaz Ebit Lew untuk sama-sama bantu orang susah.
“Saya tidak menolak tawaran sekiranya berpeluang bergabung tenaga bersama Ustaz Ebit Lew.”
Dengan penuh rendah diri, aktivis ini berkata dia hanyalah ‘insan’ kerdil’ jika dibandingkan dengan ikon kebanggaan rakyat Malaysia yang sudah membantu lebih ramai orang termasuklah masyarakat di luar Malaysia.
“Saya buat secara kecil-kecilan, memang Ustaz Ebit adalah ikon negara dalam amal jariah.”
Dia juga mengharapkan lebih banyak NGO lain yang sama-sama dapat kurangkan beban masyarakat yang kurang bernasib baik di negara ini.
Bakal terima anugerah, tapi masih rendah diri
Uncle Kentang yang sudah melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan sejak 10 tahun yang lepas dikatakan bakal terima anugerah dari Ratu Elizabeth II dengan mendapat pengiktirafan ‘Point of Light’.
Pengiktirafan ini diberikan kepada individu dalam negara anggota Komanwel sebagai tanda penghargaan terhadap kerja sukarela yang dilakukan sehingga membawa perubahan dalam komuniti.
“Saya masih terkejut dan saya rasa anugerah ini patut diberikan kepada semua rakyat Malaysia termasuk wartawan sebab mereka yang sebarkan misi yang saya lakukan ini.”
Dia menganggap dirinya cuma orang pengantara kerana segala usaha dan misi yang dilakukan sebenarnya dari orang ramai.
Bukan itu sahaja, dia beritahu yang ramai individu berbilang kaum yang hulurkan derma dan ini menunjukkan perpaduan di negara kita masih kukuh.
“Saya gembira sangat tengok ramai yang hulurkan derma tanpa mengira bangsa dan agama.”
Tak kira bangsa atau agama, kita kena selalu biasakan diri untuk tolong orang walaupun bantuan tersebut nampak kecil di mata kita, tapi besar di mata orang yang memerlukan.
Sumber: mStar