in

Hati-Hati Dengan Panggilan Senyap, Ini Taktik Baru Scammer Yang Korang Patut Ambil Tahu

Featured LM 21

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Pernah tak telefon korang terima panggilan yang tak dikenali, tapi bila diangkat, tiada suara yang sambut langsung? Walaupun korang dah jawab dan sapa panggilan tersebut, dalam beberapa saat je talian terus terputus.

Situasi ni sebenarnya dipanggil sebagai ‘silent calls’ atau panggilan senyap dan walaupun nampak macam ‘mungkin tersilap tekan kot?’, tapi pakar keselamatan siber menegaskan yang ini boleh menjadi langkah pertama kepada penipuan.


Apa tu panggilan senyap?

phone ringing

Panggilan senyap berlaku bila korang terima panggilan yang tak ada suara dan tak ada bunyi latar pun dekat hujung talian. Biasanya panggilan ni bertahan kurang daripada 10 saat sebelum terputus sendiri.

Walaupun nampak macam tak sengaja, tapi keadaan yang sengaja dibiarkan senyap sepenuhnya ini sebenarnya dikatakan taktik terbaru bagi scammer.

Menurut CyberSecurity Malaysia (CSM), panggilan senyap bukan sekadar talian rosak atau orang tersalah tekan. Ini juga sebenarnya adalah teknik mereka untuk menguji nombor telefon. Bila korang jawab panggilan senyap, sistem akan automatik menandakan nombor tersebut sebagai aktif. Dari situlah nombor tersebut akan digunakan untuk scam lain atau dijual kepada pihak ketiga.

Artikel Berkaitan: Kecoh Isu ‘Scam’ Pelanggan Hampir RM400k, Kim Seri Beri Jaminan Akan Bayar 2 Bulan Lagi – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: 20 Penipuan MLM Popular di Malaysia Anda Perlu Tahu dan Berjaga-jaga – Lobak Merah

Kenapa panggilan senyap dikira taktik scammer terbaru? 

scammer

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, laporan mengenai panggilan senyap semakin meningkat dan semuanya tidak berlaku secara rawak. Menurut CSM, scammer kini menggunakan teknik ini sebagai strategi awal sebelum melancarkan cubaan penipuan yang lebih besar.

Sebab utama taktik ini semakin digunakan adalah kerana ianya mudah, automatik dan boleh menjimatkan kos. Sistem robot digunakan untuk membuat ribuan panggilan secara serentak. Apabila ada yang menjawab, nombor tersebut akan terus ditanda sebagai aktif.

Selain itu, orang ramai cenderung untuk menjawab sebab nombor panggilan tersebut selalunya menggunakan nombor tempatan. Teknik penyamaran nombor atau spoofing ini membuatkan panggilan tersebut nampak seolah-olah datang dari Malaysia walaupun sebenarnya boleh dari luar negara.

Tindakan scammer selepas kenalpasti nombor yang aktif 

Featured LM 19

Selepas nombor disahkan aktif, panggilan senyap biasanya akan jadi langkah pertama kepada cubaan penipuan yang lebih agresif. Ini termasuklah dengan panggilan susulan daripada individu yang menyamar sebagai bank, syarikat kurier, polis, mahkamah atau agensi kerajaan.

Mereka akan menggunakan taktik mendesak seperti mendakwa akaun bank akan disekat, parcel ditahan atau terdapat saman tertunggak. Motifnya tetap sama iaitu mereka akan membuat mangsa panik serta memaksa mangsa untuk memberi maklumat peribadi.

Selain panggilan, mangsa juga mungkin menerima SMS yang meminta mereka hubungi nombor tertentu. Ada juga yang menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp dengan mengandungi pautan palsu yang kononnya perlu ditekan untuk verifikasi akaun, tuntutan parcel atau tawaran kerja. Ini semua dirangka untuk membuat mangsa percaya yang panggilan senyap tadi bukanlah satu ancaman, tapi sebahagian daripada urusan rasmi.

CSM juga menjelaskan bahawa sebahagian panggilan ni direkodkan untuk mengumpul metadata suara, contohnya bunyi latar rumah, persekitaran atau suara korang bila korang sebut ‘hello’. 

Walaupun diam, panggilan tu tetap boleh dirakam untuk kenal pasti suara atau bunyi latar di sekeliling.

Bila mereka tahu nombor tu aktif, ia boleh dijual atau digunakan untuk penipuan seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CSM, Amirudin Abdul Wahab.

Walaupun kedengaran agak mustahil sebab korang tak bercakap banyak, tapi dengan teknologi sekarang, scammer boleh menghasilkan suara mangsa untuk menipu ahli keluarga atau rakan melalui panggilan palsu yang kedengaran sangat menyakinkan dengan Artificial Intelligence (AI).

Jadi nak buat apa kalau terima panggilan senyap?

Featured LM 20

Cara yang paling selamat untuk menangani panggilan senyap ialah memutuskan panggilan tersebut serta-merta. Kalau boleh jangan bercakap, jangan tunggu dan jangan biarkan talian terbuka.

Menurut CSM, tindakan mematikan panggilan dengan cepat boleh mengurangkan peluang nombor korang disahkan sebagai aktif oleh sistem automatik scammer.

Untuk membezakan panggilan senyap dan panggilan sebenar adalah andai kata pemanggil sebenar memang betul-betul memerlukan korang, pasti mereka akan hubungi kembali atau meninggal mesej melalui SMS, WhatsApp atau voicemail. Pemanggil yang sebenar tak akan berdiam diri atau memutuskan talian tanpa sebarang penjelasan, terutamanya ketika waktu yang terdesak.

Kemudian selepas terima panggilan senyap, korang digalakkan untuk sentiasa peka dengan mesej yang mencurigakan atau panggilan susulan yang mendakwa dari pihak bank atau pihak berkuasa. Jika betul ada, jangan layan panggilan tersebut dan hubungi terus pihak yang kononnya telefon korang tu menerusi nombor rasmi yang disahkan.

Korang juga boleh membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau penyedia telco jika panggilan itu berlaku berulang kali. Kebanyakan telefon pintar kini mempunyai ciri penyekat panggilan dan pengesan spam, jadi gunakan ciri tersebut untuk lindung keselamatan korang.

Jadi kunci utamanya adalah kita kena sentiasa berhati-hati sebelum angkat sebarang panggilan daripada nombor yang tidak dikenali di samping tidak memberi maklumat peribadi walaupun panggilan tersebut kelihatan serius. Kekal peka dan waspada adalah cara paling terbaik untuk kita semua elak diri daripada menjadi mangsa scammer. 

Sumber: Sinar Daily

Sumber: ersen_cira
Sumber: pixelshot

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.