Seorang guru yang baru sahaja bertugas 2 minggu di sebuah sekolah di Indonesia telah menjadi sasaran keluarga pelajar kerana tindakannya yang tergamak menggadaikan komputer riba (laptop) milik pelajar tersebut.
Berdasarkan sumber, guru yang dikenali sebagai SRA itu meminjam laptop milik muridnya dengan alasan perlu menyiapkan tugasan penting. Mangsa yang merupakan muridnya sendiri dengan rela memberikan laptop miliknya atas dasar percaya terhadap guru.
Artikel berkaitan: Gara-gara Katerer Lesap ‘Last Minit’, Pengantin Rugi RM11,000 Sampai Ibu Terpaksa Gadai Gelang Emas
Artikel berkaitan: Pekerja Pajak Gadai Ditahan Untuk Bantu Siasatan Kes Bun*h Peniaga Wanita
Namun begitu, selepas beberapa jam, laptop tersebut masih belum dipulangkan, keluarga kepada murid mula curiga apabila guru tersebut gagal dihubungi untuk bertanyakan tentang laptop tersebut.
Setelah pihak keluarga berjaya memberkas guru tersebut, SRA akhirnya mengakui bahawa dia telah menggadaikan laptop berkenaan dengan harga Rp3.2juta (sekitar RM720).

Mengetahui hal tersebut, pihak keluarga mangsa terkilan kerana laptop tersebut digunakan untuk melakukan tugas-tugas penting.
Pihak keluarga juga dikatakan ada membuat semakan terhadap identiti guru itu dan mereka mendapati bahawa guru tersebut terikat dengan hutang-hutang pinjaman online.

Lapor sumber, bagi memudahkan urusan pengajian murid tersebut, kakak kepada mangsa terpaksa menggunakan wang sendiri untuk menebus semula laptop yang telah digadaikan itu.
Malah, dikatakan ada murid-murid lain tampil mendedahkan mereka pernah terkena perkara yang sama dengan guru tersebut. Sehingga kini, masih belum ada sebarang perkembangan dan kenyataan yanng diberikan oleh pihak berkuasa terhadap tindakan selanjutnya terhadap guru tersebut.
Sumber: Suara Merdeka
