Disebabkan susah untuk mengawal nafsu makan, seorang lelaki berusia 36 tahun dari China yang mengalami berat badan yang berlebihan merasa ‘insecure’ untuk bertemu dengan ibu bapa teman wanitanya.
Oleh itu, lelaki yang dikenali sebagai Li Jiang membuat keputusan untuk menjalani ‘pembedahan pintasan gastrik’ pada 30 September lepas, namun proses tersebut dilihat seperti ‘memakan diri’.
Artikel berkaitan : “Tak bahaya ke?” – Bariatrik Bukan Jalan Singkat Untuk Kurus, Fahami Risiko Pembedahan Bariatrik
Artikel berkaitan : “Doktor suruh pun jangan buat selagi…” – Dr Malar Kongsi Manfaat & Risiko Pembedahan Bariatrik
Kuruskan badan untuk hari perkahwinan

Li Jiang yang berketinggian 174 cm itu mempunyai berat lebih daripada 134 kg. Hubungan cinta bersama pasangannya yang semakin berbunga membuatkan mereka membuat keputusan untuk berkahwin dan bersedia untuk berjumpa dengan ibu bapa masing-masing.
Menurut sumber, sebagai langkah persiapan untuk majlis perkahwinan, dia mula merancang untuk menguruskan badan dengan menggunakan kaedah pembedahan.
Pembedahan tersebut berjaya dilakukan. Pada 2 Oktober, dia dipindahkan ke ICU untuk penjagaan selepas pembedahan sebelum dipindahkan lagi ke wad umum pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, keadaan Li Jiang semakin merosot sehinggakan dia berhenti bernafas dan disahkan meninggal dunia akibat kegagalan bernafas pada 5 Oktober.
Pihak hospital akan bertanggungjawab sepenuhnya

Menurut rekod perubatan, Li telah mengalami peningkatan berat badan secara ketara dan berdengkur sejak setahun lalu sebelum dimasukkan ke hospital. Dia juga alami sindrom metabolik, hipertensi dan hati berlemak.
Atas kematian Li Jiang, keluarganya turut mempersoalkan sama ada pihak hospital ada membuat pemeriksaan kepada Li Jiang dahulu dengan betul sebelum melakukan pembedahan atau tidak.
Malah, mereka turut membangkitkan kebimbangan mereka tentang bagaimana komplikasi pasca pembedahan dikendalikan oleh pihak hospital bahkan mempersoalkan sama ada adakah rawatan kecemasan diberikan tepat pada masanya.

Pada 10 Oktober, Suruhanjaya Kesihatan dari negara tersebut diminta untuk menjalankan bedah siasat bagi menentukan punca kematian Li Jiang.
Laporan bedah siasat akhir akan menentukan punca kematian, dan pihak hospital tersebut berkata mereka akan bertanggungjawab sepenuhnya selaras dengan undang-undang yang ditetapkan.
Sumber : South China Morning Post
