Seorang lelaki dipercayai etnik Rohingnya menjadi mangsa bunuh selepas dipukul hingga mati sebelum mayatnya diletakkan dalam sebuah kolah dan ditimbus dengan tanah.
Difahamkan, mangsa diperlakukan sebegitu kerana dituduh mencuri wang tunai lebih RM40,000 serta barang kemas.
Menurut laporan Berita Harian, mangsa yang berusia lewat 20-an itu dipercayai bekerja sebagai tukang rumah dan menetap bersama majikannya di sebuah kawasan perumahan di sini sejak empat bulan lalu.
Artikel berkaitan: “Saya lega” – Lelaki Ugut Bun*h Baby Shima Sudah Ditahan Polis
Artikel berkaitan: Tragis! Remaja Indonesia Dibun*h Ketika Meniaga, Impian Nak Sambung Belajar & Bantu Keluarga Hancur
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita pada jam 10.30 malam 28 Januari lalu, memaklumkan bahawa suaminya dijumpai maut di sebuah rumah di kawasan perumahan di Jalan Kampung Sungai Baru.
Punca kejadian didakwa kerana majikan mangsa menuduh lelaki itu mencuri wang tunai RM40,150, seutas rantai emas dan subang hidung di rumah berkenaan pada 4 Januari lalu.
“Majikan itu (suspek) ada membuat laporan polis berhubung kes kehilangan terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Suspek didakwa menahan si mati dan isterinya serta bapa mangsa yang mempunyai kad pelarian bawah Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) sejak sebulan lalu, serta memukul si mati untuk mendapatkan semula wang tunai yang hilang itu.
Si mati dipercayai turut dipukul beberapa individu dipercayai etnik Rohingya. Mangsa yang mempunyai tiga anak, dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam pada tarikh dan waktu dia ditemui,” katanya.
Wan Azharuddin juga berkongsi, mayat mangsa ditemui bertutup kain cadar, dimasukkan ke dalam kolah bilik air dan ditimbus dengan tanah di sebuah rumah berhampiran kawasan itu.
“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga suspek pertama telah ditahan berikutan terdapat dua rakaman video menunjukkan dia sedang memegang tali dan memukul si mati.
Rumah tempat mangsa dipercayai dipukul juga digeledah sebelum polis menemui senjata dan tali yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Suspek pertama turut didapati mempunyai rekod bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke forensik dan patologi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Sumber: Berita Harian