Tindakan segelintir pengasas produk kosmetik dan peniaga online yang gemar mempamerkan gaya hidup mewah di media sosial kini dalam pemerhatian pihak polis.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat berkata, walaupun setakat ini aktiviti perniagaan mereka tidak dikesan mempunyai kaitan dengan penipuan, aksi mempamerkan wang tunai dalam jumlah yang banyak serta kehidupan serba mewah ketika membuat siaran langsung di media sosial menarik perhatian polis.
Menurut beliau, pemantauan itu dibuat bagi mengenal pasti sama ada terdapat sebarang aktiviti pengubahan wang haram.
“Mereka kini berada dalam radar kami. Kita pantau dari segi pengubahan wang haram. Kalau ada kesalahan, kita akan ambil tindakan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya.
Beliau menjelaskan, individu yang disiasat perlu mengemukakan dokumen sokongan seperti resit, rekod transaksi dan bukti lain bagi menjelaskan sumber kewangan mereka.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata tindakan mempamerkan kemewahan secara berlebihan di media sosial lazimnya merupakan strategi pemasaran bagi meyakinkan orang ramai bahawa produk yang dijual mendapat sambutan luar biasa.
“Orang nampak kaya, nampak duit berkepuk-kepuk, jadi mereka fikir produk itu laris dan boleh membawa keuntungan besar,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada terhadap sindiket penipuan atau scammer yang semakin licik, khususnya tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
Artikel berkaitan: “Kalau tak ada duit tak payah masuk” -‘Founder’ Kosmetik Dikecam Halau B40 Dalam ‘Live’
Artikel berkaitan: “Duit monopoly ke tu?” – Che Ta ‘Kantoi’ Tayang Duit Berkepuk Tapi Ada Yang Palsu
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil tahu modus operandi scammer, tidak sewenang-wenangnya menjawab panggilan daripada nombor yang tidak dikenali serta menggunakan platform jual beli yang sah dan dipercayai.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan janji keuntungan segera.
“Kalau ada pelaburan yang menjanjikan untung besar dalam masa singkat, itu perlu dicurigai. Pegang pepatah orang tua-tua, ‘bukan senang nak jadi senang’, supaya kita tidak mudah ditipu.
“Kalau malas sangat membaca, tanyalah ChatGPT bagaimana hendak mengelakkan scammer,” katanya.
Sumber: Harian Metro
