Selepas berjaya mengumpul RM650,959.21 menerusi Larian Kesyukuran sejauh 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini berkongsi perkembangan terkini mengenai penggunaan dana yang diterima hasil sumbangan orang ramai.
Menerusi perkongsian di akaun media sosialnya, Syed Saddiq memaklumkan sebanyak RM429,852.50 telah dibelanjakan setakat ini bagi membantu penduduk Muar.
Menurut beliau, perbelanjaan itu melibatkan beberapa inisiatif kebajikan dan pendidikan, antaranya:
- RM136,575 bagi penyediaan 2,500 set Foodbank.
- RM99,909 untuk pembelian 51 buah iPad.
- RM175,000 bagi menyediakan 100 buah komputer riba.
- RM18,368.50 sebagai bantuan banjir kepada kira-kira 50 keluarga yang terjejas.
Menurutnya, masih terdapat baki sebanyak RM221,106.71 yang akan terus digunakan untuk membantu rakyat di Muar.
“Semua perbelanjaan boleh disemak melalui lariankesyukuran.com,” katanya.
View on Threads
Artikel berkaitan: “Supaya boleh solat on time” – Bella Astillah Kongsi ‘Port’ Rehat Syed Saddiq Sepanjang 4 Hari Larian Kesyukuran
Artikel berkaitan: “Ini larian kali pertama” – Untuk Dana & Protes, Syed Saddiq Mulakan Larian 200KM Dari Muar Ke Parlimen
Sementara itu, Syed Saddiq menegaskan pihaknya tidak sesekali menggunakan wang kutipan itu walaupun untuk menampung kos pentadbiran.
Menurutnya, meskipun garis panduan tadbir urus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membenarkan sehingga 30 peratus dana digunakan sebagai kos pentadbiran, namun pihaknya tidak berbuat sedemikian.
“0% untuk kos pentadbiran. 100% untuk Muar,” tulisnya.
Sebelum ini, Larian Kesyukuran Muar yang berlangsung selama empat hari itu berjaya mengutip RM650,959.21 iaitu lebih tiga kali ganda daripada sasaran awal.
Sumber: Threads
